USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SASAR 1,500 JEMAAH IFTAR SEPANJANG RAMADAN, ORANG RAMAI DIPELAWA HULUR SUMBANGAN

IMG 20260227 WA0076

USM PULAU PINANG, 27 Februari 2026 – Ketika umat Islam berlumba-lumba merebut ganjaran Ramadan, Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) tampil dengan inisiatif penuh makna menerusi Ramadan One Stop Centre, yang menyasarkan penyediaan juadah iftar kepada 1,500 jemaah setiap hari sepanjang bulan mulia ini.

Jawatankuasa Induk Aktiviti Ramadan USM 1447H/2026M kini mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi memastikan kelancaran penyediaan makanan berbuka puasa di Masjid Al-Malik Khalid, USM.

Antara bahan mentah yang amat diperlukan termasuk beras, gula pasir, santan kelapa, minyak masak, bawang besar, bawang putih, rempah ‘4 sekawan’, kicap, susu cair, sup tomato, puri tomato, kordial minuman, dan lain-lain lagi yang sesuai.

IMG 20260227 WA0192

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadan USM 1447H/2026M, Ustaz Iswandi Abdul Mokmin, setiap sumbangan yang dihulurkan akan terus dimanfaatkan untuk penyediaan juadah berbuka puasa kepada pelajar, staf university, dan komuniti setempat yang hadir mengimarahkan masjid.

“Ramadan adalah bulan memberi. Walau sekecil mana sumbangan, ia membawa makna besar buat mereka yang berbuka puasa di masjid. Kita inginkan semua pihak bersama-sama menjayakan misi kebajikan ini,” kata beliau.

Tambah Iswandi lagi, bagi memudahkan penyumbang, bahan mentah boleh dihantar terus ke khemah tertutup berhadapan parkir Masjid Al-Malik Khalid, manakala sumbangan wang tunai boleh disalurkan ke akaun rasmi Tabung Aktiviti Ramadan USM.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan budaya bersedekah, malah menghidupkan semangat kebersamaan dalam komuniti kampus selaras dengan sabda baginda Rasulullah S.A.W., bahawa sedekah tidak akan mengurangkan harta, bahkan menyucikan dan memberkati rezeki,” jelas beliau.

Orang ramai yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pihak urus setia yang dilantik.

Ramadan hanya datang sekali setahun. Inilah masanya untuk berkongsi rezeki, menyantuni Jemaah, dan meraih pahala berlipat ganda sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

Sumbangan Wang Tunai boleh disalurkan melalui:

Tabung Aktiviti Ramadan USM: CIMB BANK - 9898 6101 3015 86 (Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Kampus Induk)

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: Ustaz Mohsin - 019-431 9447 dan Ustazah Fadhilah - 013-489 4979

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Pusat Islam, USM

  • Created on .
  • Hits: 62

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025