USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MASJID USM BERMANDI CAHAYA, TARIK WARGA KAMPUS IMARAHKAN RAMADAN

IMG 20260227 WA0177

USM, PULAU PINANG, 27 Februari 2026 - Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM) kini tampil memukau apabila persekitarannya bermandi cahaya sempena menyambut bulan Ramadan 1447H, sekali gus menyuntik suasana lebih ceria dan penuh makna buat warga kampus.

Inisiatif menceriakan kawasan masjid oleh Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), USM berjaya mengubah wajah malam di kampus induk apabila pepohon palma serta landskap sekitar dihiasi limpahan lampu hiasan yang memancar indah sebaik waktu Maghrib menjelang.

IMG 20260227 WA0179

Pantulan cahaya pada kubah dan menara masjid menyerlahkan lagi seni bina Masjid Al-Malik Khalid yang menjadi mercu tanda kebanggaan universiti, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk jemaah menunaikan solat Tarawih dan menyertai pelbagai pengisian Ihya’ Ramadan.

Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari berkata, usaha memperindah rumah Allah itu bukan sekadar hiasan semata-mata, sebaliknya simbol kesungguhan universiti dalam menyemarakkan syiar Islam serta menghidupkan budaya mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.

IMG 20260227 WA0173

“Ramadan adalah bulan yang menyatukan hati umat Islam. Dengan suasana yang lebih ceria dan bercahaya ini, kita berharap ia dapat menarik lebih ramai warga kampus dan komuniti setempat untuk hadir mengimarahkan masjid serta meningkatkan amal ibadah,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada tenaga kerja Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti USM atas komitmen dan sokongan dalam memastikan Masjid Al-Malik Khalid terus menjadi nadi kerohanian universiti.

Dengan suasana yang lebih hidup dan harmoni, Masjid Al-Malik Khalid kini bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah simbol kebersamaan warga USM dalam menghayati keberkatan Ramadan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Pusat Islam, USM

  • Created on .
  • Hits: 59

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025