TYT YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG SANTUNI WARGA USM DALAM MAJLIS IFTAR PERDANA

USM PULAU PINANG, 25 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini meraikan penganjuran Majlis Iftar Perdana bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib dan isteri, Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin binti Raja Abdullah, bertempat di Perkarangan Masjid Al-Malik Khalid, Pusat Islam USM.
Majlis yang bermula seawal jam 6.15 petang ini meraikan kepimpinan Universiti, warga kampus, mahasiswa, jemputan dalam kalangan jabatan kerajaan, industri serta komuniti setempat dalam suasana penuh baraqah dan keberkatan sempena bulan Ramadan al-Mubarak.


Naib Canselor USM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc. dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian TYT Tun dan Yang Mulia Toh Puan bersama warga Universiti dan masyarakat dalam majlis yang amat bermakna ini.

Menurut beliau lagi, penganjuran iftar perdana tersebut merupakan antara pengisian utama dalam Agenda Ihya’ Ramadan USM yang diselaraskan oleh Pusat Islam melalui Jawatankuasa Aktiviti Ramadan Peringkat Universiti.
“Penyediaan iftar ini telah menjadi tradisi Universiti pada setiap Ramadan, sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan terhadap warga kampus serta masyarakat sekitar,” kata beliau.

Tahun ini, 15 aktiviti utama telah dirancang sepanjang Ramadan, bermula seawal bulan Syaaban melalui Majlis Pelancaran Hilal Ramadan dan akan berakhir dengan sambutan Aidilfitri pada bulan Syawal kelak.


USM menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan Ramadan untuk kira-kira 1,500 orang yang terdiri daripada pelajar, staf, dan komuniti setempat.
Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta agensi-agensi yang menyalurkan sumbangan zakat bagi membantu pelajar dalam kategori asnaf dan B40. Sokongan berkenaan menjadi pemangkin penting dalam memperkasa agenda pendidikan dan kebajikan pelajar, sejajar dengan komitmen Universiti untuk memastikan golongan tersebut dapat meneruskan pengajian tanpa kebimbangan tercicir akibat kekangan kewangan.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan, penyampaian cenderahati, bacaan doa serta solat berjemaah sebelum diteruskan dengan solat Isyak dan Tarawih.
Penganjuran Majlis Iftar Perdana bersama TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan Kerajaan Negeri serta memupuk nilai kesejahteraan, kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga Universiti dan masyarakat.

Selain dif kehormat, majlis ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Menteri, Pulau Pinang, YB Dato' Dr. Mohamad Abdul Hamid dan isteri; Konsul-Jeneral Japan di Pulau Pinang, TYT Machida Shinya; Konsul-Jeneral Thailand di Pulau Pinang, TYT Psusist Wongsurawat; Menjalankan Fungsi Pengerusi Lembaga Gabenor USM, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman; Pengerusi USAINS Holding Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Hafsah Hashim; Ahli Lembaga Gabenor USM; Ahli Jawatankuasa Pengurusan USM; Pengarah, Pusat Islam USM, YBrs. Ustaz Zayd Zhari; Ketua-Ketua Jabatan Agensi Kerajaan; Pegawai-pegawai Utama Universiti; Tetamu Jemputan Khas dari Industri dan Komuniti setempat; para Penaja; Barisan Kepimpinan Pelajar; Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Iftar Perdana USM dan Rakan Media.
Majlis berakhir pada jam 10.00 malam dengan jamuan moreh.
Teks: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM / Foto: Mohd Fairus Md Isa & Muhamad Faris Dawisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 145