USM TERUS KEKALKAN TRADISI RAKAMAN TAKBIR RAYA BERSAMA KEPIMPINAN TERTINGGI

USM PULAU PINANG, 25 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan tradisi tahunan dengan mengadakan sesi rakaman Takbir Raya bersama kepimpinan tertinggi universiti dan Pegawai Agama USM sempena bulan Ramadan.

Acara yang menjadi kelaziman setiap tahun ini mendapat sambutan amat menggalakkan pada tahun ini dengan penyertaan hampir 40 orang kepimpinan tinggi universiti daripada pelbagai peringkat.
Mereka terdiri daripada Ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU); Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU); Dekan; Pengarah Pusat Perkhidmatan/Pentadbiran; Pengarah HICoE/CoE; Pengarah Pusat Akademik/Penyelidikan; dan Penyelaras/Ketua Unit.


Rakaman dikendalikan oleh Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) USM, dengan kerjasama Pegawai Agama USM, bertempat di Masjid Al-Malik Khalid.
Program ini bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan dan kekeluargaan warga kampus, di samping menzahirkan nilai keagamaan serta budaya sempena sambutan Aidilfitri.


Rakaman Takbir Raya ini juga menjadi simbolik kepada usaha universiti dalam mengekalkan tradisi Islam yang penuh makna, selain mengeratkan hubungan antara kepimpinan dan warga kampus.

Menurut Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari, yang memimpin Takbir Raya, rakaman ini bukan sahaja mengangkat syiar Islam, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat Ramadan dan Aidilfitri dalam kalangan warga universiti.


Rakaman Takbir Raya ini akan disiarkan kepada warga kampus menjelang Aidilfitri melalui saluran atau platform media yang bersesuaian, sebagai tanda kebersamaan dan penghargaan terhadap nilai tradisi yang terus dipelihara di USM.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 114