USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ISU KELESTARIAN DIBINCANG DALAM PKA 2013

311013-5

PULAU PINANG, 28 Oktober 2013 – Isu-isu berhubung aspek kelestarian menjadi teras utama yang dibincangkan dalam Persidangan Kelestarian Antarabangsa (PKA) 2013 yang disertai oleh lebih 100 peserta dalam kalangan akademia dan juga wakil-wakil NGOs dan agensi lain.

Timbalan Setiausaha yang mewakili menteri,  Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr. Gary W. Theseira yang merasmikan persidangan itu berkata, pihak kementerian sentiasa komited untuk memberi maklum balas tehadap isu yang dibincangkan bagi mempelbagaikan input untuk membangunkan polisi-polisi negara.

“Berkaitan dengan tajuk yang  dibincangkan di dalam persidangan ini dan juga lanjutan daripada RIO+20,  Malaysia telah meningkatkan pelaksanaan konsep kelestarian dan begitu juga di dalam Polisi Pembangunan Negara,” kata Dr. Gary. 

Menurut beliau, kita boleh menghadapi segala cabaran yang ada dalam membangunkan dunia yang lestari walau pun dikekang oleh pelbagai rintangan.

“Jadi,  setiap kita perlu mainkan peranan untuk memelihara bumi ini iaitu planet yang paling berharga untuk kehidupan manusia dan menjadi warisan generasi masa hadapan,” tambah beliau.

Pada majlis yang sama, beliau melancarkan South East Asia Sustainability Network (SEASN) iaitu jaringan dan platform untuk membincangkan perancangan kelestarian. SEASN juga diwujudkan untuk mempromosikan bidang kelestarian di peringkat pengajian tinggi, NGOs, industri dan pelbagai agensi di Asia Tenggara.

Beliau juga melancarkan tiga buah buku dan juga prosiding ISCO iaitu Post Rio+20 on WEHAB+3: A South East Asian Perspective, A Selected Literature Review of USM Research Publications on WEHAB+3 dan Disaster Risk Management for Sustainable Development.

Sementara itu, Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr See Ching Mey berkata, konsep kelestarian adalah selari dengan visi dan misi USM sebagai sebuah Universiti APEX. Pembelajaran dan pengajaran di kampus juga sangat menekankan aspek kelestarian. Justru, USM berusaha untuk menjenamakan diri sebagai sebuah universiti yang berupaya memimpin dalam isu-isu kelestarian ini.

Persidangan antarabangsa yang bertemakan The Future We Want For All Without Fear and Favour ini mengumpulkan para penyelidik & pakar Asia Tenggara dalam lima bidang Pembangunan Lestari iaitu: Air, Sumber Tenaga, Kesihatan, Agrikultur dan Biodiversiti bersama tiga bidang merentas sektor iaitu Perubahan Iklim and Pengurusan Risiko Bencana, Pengeluaran dan Penggunaan (Production and Consumption) dan Kemiskinan dan Populasi (WEHAB+3).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Muhamad Jantan pula ketika menyempurnakan majlis penutupan ISCO 2013 menyatakan harapannya agar semua yang telah dibincangkan akan dilaksanakan dan di bawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk manfaat semua.  Teks: Nor Rafizah Md Zain / Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1293

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024