USM SOKONG PROGRAM JELAJAH PENDIDIKAN TINGGI NEGARA, SERTAI JOM MASUK UNIVERSITI (JMU) 2026, ZON PUTRAJAYA
PUTRAJAYA, 1 Februari 2026 – Program Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 membuka tirai dengan peluncuran inisiatif Jelajah Pendidikan Tinggi Negara oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Inisiatif ini bertujuan menyampaikan maklumat yang tepat, inklusif, dan mudah diakses kepada para pelajar berpotensi di seluruh negara.
Inisiatif ini menyokong usaha membuat keputusan berinformasi, menggalakkan kesaksamaan akses kepada pendidikan tinggi, dan memperkukuh pembangunan modal insan negara.
Selaras dengan agenda negara ini, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai program JMU 2026 yang berlangsung dari 29 Januari hingga 1 Februari 2026, bertempat di Dewan Sri Siantan, Perbadanan Putrajaya.
Penyertaan USM mencerminkan pendekatan ‘keseluruhan institusi’, yang melibatkan Unit Kemasukan, Bahagian Pengurusan Akademik, Institut Pengajian Siswazah, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, dan Pusat Pengajian Sains Kajihayat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang telah memberi jaminan bahawa KPT akan terus komited dalam memastikan kesaksamaan akses kepada pendidikan tinggi, membentuk graduan yang bersedia untuk masa hadapan, dan memastikan peningkatan sosio-ekonomi di Malaysia melalui pendidikan berkualiti.
Sepanjang tiga hari program tersebut, reruai USM telah menarik minat ramai dalam kalangan pelajar dan ibubapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pelbagai program akademik, saluran kemasukan, dan khidmat sokongan pelajar.
Sambutan yang menggalakkan itu mencerminkan keyakinan masyarakat awam terhadap USM sebagai sebuah universiti intensif penyelidikan tersohor yang menawarkan peluang pendidikan berimpak serta berkait rapat dengan keutamaan yang ditetapkan pendidikan tinggi negara.
Penolong Pendaftar Kanan, Fadzilla Bosman yang mengetuai penyertaan USM, memaklumkan bahawa antara program akademik yang sering menerima pertanyaan ialah Sains Perubatan, Sains Pergigian, Farmasi, Kejuruteraan, Sains Komputer, Perakaunan, Sains Pendidikan, Pengurusan, Ekonomi, Bahasa, Kewangan Islam dan Komunikasi.
Tumpuan sebegini memperlihatkan minat masyarakat yang tinggi terhadap bidang-bidang yang menyokong keperluan tenaga kerja negara dan ekonomi yang mampu berdaya tahan di masa hadapan.
Turut serta ialah Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Dr. Izham Mohamad Yusof, yang menjelaskan mengenai peluang bagi pelajar berpotensi melanjutkan pengajian tinggi melalui kaedah fleksibel pendidikan jarak jauh.
Sementara itu, Pengerusi Rancangan bagi Bahagian Mikrobiologi dan Bioteknologi, Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Dr. Kamarul Zaman Zarkasi, telah bertemu secara langsung dengan para pengunjung bagi mempromosikan program akademik dari Pusat Pengajiannya.
Tumpuan khas diberi terhadap program akademik yang baharu diluncurkan iaitu, Sarjana Sains dalam Pengurusan Penyakit Tumbuhan Tropika (Master of Sciences in Tropical Plant Disease Management), satu program pascasiswazah yang direka bentuk untuk menangani cabaran kesihatan tumbuhan, keterjaminan makanan, dan pembangunan pertanian lestari dalam persekitaran tropika.
Penglibatan USM dalam JMU 2026 ini menekankan komitmen berterusan pihak Universiti dalam menyokong misi KPT bagi meluaskan akses terhadap pendidikan tinggi, memperkasakan para pelajar melalui maklumat yang tepat, serta membangunkan graduan berkemahiran, berpengetahuan, dan bertanggungjawab secara sosial demi memanfaatkan negara.
Teks asal: Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 87