USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH PERANAN SERANTAU DALAM SAINS LAUTAN MELALUI PENGANJURAN MESYUARAT STRATEGIK UNESCO/IOC–WESTPAC

Picture167

PULAU PINANG, 2 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), baru-baru ini telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Kumpulan Penasihat dan Konsultatif Strategik UNESCO/IOC–WESTPAC 2026.

Sebagai tuan rumah, peranan USM diperkukuh sebagai hab serantau utama dalam sains lautan, pembangunan kapasiti, dan kerjasama antarabangsa.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Abdul Shukor Jamaluddin, yang menyampaikan ucapan pembukaan bagi pihak Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES), dengan kehadiran Pengerusi Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan (IOC), Profesor Dr. Yutaka Michida, serta Pengarah CEMACS, Profesor Madya Dr. Mahadi Mohammad.

Mesyuarat selama tiga hari (28–30 Januari 2026) itu menghimpunkan hampir 40 wakil utama daripada sembilan negara anggota (China, Jepun, Republik Korea, Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam, dan Persekutuan Rusia) bagi menilai kemajuan dalam Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan (IOC) UNESCO dan merangka hala tuju strategik bagi Sub-Suruhanjaya IOC untuk Asia Barat Pasifik (WESTPAC).

Picture275

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, Pengerusi IOC-WESTPAC, yang juga Profesor Kehormat di CEMACS.

Komponen utama mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dekad Sains Lautan PBB untuk Pembangunan Mampan (2021–2030).

Para peserta menilai kemajuan terhadap Tindakan Dekad Lautan PBB yang diterajui WESTPAC, termasuk perancangan ruang marin, pengurangan pencemaran plastik, Rangkaian Serantau Pusat Latihan dan Penyelidikan (RTRCs), arus lautan, inisiatif karbon biru dan rumpai laut, ramalan ekosistem, serta penyelesaian lautan serantau.

Mesyuarat turut membincangkan isu berkaitan Perjanjian Biodiversiti di Luar Bidang Kuasa Nasional (BBNJ) dan implikasinya terhadap kerjasama serantau.

Picture36754

Sebagai institusi tuan rumah, CEMACS menekankan komitmen berterusan USM terhadap kecemerlangan penyelidikan lautan, latihan serantau, dan sains yang relevan dengan dasar.

Mesyuarat berkenaan juga menegaskan sumbangan Malaysia yang semakin meningkat dalam tadbir urus lautan antarabangsa serta penglibatan aktifnya dalam inisiatif UNESCO/IOC.

Delegasi turut berpeluang melawat kemudahan penyelidikan CEMACS, Koleksi Rujukan Marin Tun Daim Zainuddin, serta galeri biodiversiti dan perubahan iklim pada hari terakhir mesyuarat.

Picture46756

USM merakamkan penghargaan kepada UNESCO/IOC, Sekretariat IOC-WESTPAC, dan negara anggota yang mengambil bahagian atas kepercayaan dan kerjasama dengan memilih CEMACS dan Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi mesyuarat penting tersebut.

Dengan penganjuran forum serantau berprestij tersebut, USM sekali lagi menegaskan komitmennya dalam memajukan penyelesaian mampan lautan dan memperkukuh perkongsian serantau demi manfaat generasi kini dan akan datang.

Teks Asal & Foto: Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 73

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025