USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM FOKUS HASILKAN INOVASI KOMUNITI

DSC 0562

PULAU PINANG, 31 Okt. 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus memperkasakan bidang penyelidikan khususnya yang membabitkan inovasi untuk dimanfaatkan kepada komuniti secara keseluruhan.

Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey berkata, penyelidikan USM kini terarah kepada usaha untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada komuniti khasnya golongan berkelainan upaya (OKU) dan kurang bernasib baik.

Katanya, USM juga mempunyai satu jaringan yang kukuh untuk menterjemahkan bakat dan kemampuan penyelidik dalam penghasilan inovasi kepada komuniti termasuk dengan adanya kluster OKU.

``Kluster OKU ini menyediakan satu platform multidisiplin yang membolehkan para penyelidik dari pelbagai lapangan menterjemahkan idea dalam mewujudkan satu inovasi yang boleh memberi manfaat kepada komuniti.

``Ia turut berperanan untuk melihat keperluan-keperluan masyarakat terkebawah dan usaha itu kini sedang giat dijalankan di peringkat Universiti,’’ katanya dalam sidang media memperkenalkan produk yang memenangi pingat dalam i-Inova di sini hari ini.

i-Inova adalah pertandingan dan pameran produk inovasi yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia, USM dan Akademi Sains Malaysia.

USM meraih satu pingat emas, tiga perak dan lima gangsa dalam pertandingan yang turut disertai 140 produk inovasi oleh 16 institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan tujuh di peringkat antarabangsa.

i-Inova turut disertai oleh pelbagai pusat penyelidikan dalam dan luar negara termasuk dari  Indonesia, Brunei, Gaza, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Sudan, Pakistan dan sebagainya.

Produk emas USM iaitu Sustainable Pocket Education: Interactive Mobile Learning yang dihasilkan penyelidik dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Dr. Issham Ismail turut mendapat anugerah khas Al-Khawarizmi, yang diperuntukkan kepada produk terbaik dalam kalangan pemenang pingat emas.

Produk tersebut memberi nilai tambah kepada proses pembelajaran secara mudah alih melalui telefon bimbit. Ia bukan sekadar memberi satu kemudahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, malah memberi ruang interaksi secara dua hala dengan pantas dan berkesan (real-time basis).

Turut dimuatkan dalam sidang media berkenaan adalah perincian rekacipta penyelidik USM yang dikenali sebagai Stand Up: Manual Footplate for Balance Rehabilitation- sejenis alatan klinikal yang membantu proses pemulihan pesakit yang baru diserang angin ahmar dan pesakit yang mempunyai masalah keseimbangan badan.

Alatan yang berpotensi digunakan secara meluas di pusat-pusat rehabilitasi ini terbukti menunjukkan hasil pemulihan terhadap pesakit yang mempunyai masalah keseimbangan dalam tempoh kurang dari dua minggu.  Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1230

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024