USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR CEMERLANG RPJJ DIRAIKAN DALAM MAJLIS ANUGERAH DEKAN DAN SIJIL KEPUJIAN

IMG 20260223 WA0092

USM PULAU PINANG, 23 Februari 2026 - Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Majlis Anugerah Dekan dan Sijil Kepujian bagi meraikan para pelajar cemerlang Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ), di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 130 pelajar dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, sekali gus menzahirkan komitmen luar biasa golongan pelajar dewasa yang bijak mengimbangi tuntutan akademik, kerjaya, dan tanggungjawab keluarga.

Penganjuran majlis berprestij itu menjadi simbol pengiktirafan rasmi universiti terhadap dedikasi dan ketekunan pelajar RPJJ yang membuktikan kecemerlangan boleh diraih melalui disiplin tinggi dan pengurusan masa yang berkesan.

Pada masa yang sama, ia memperlihatkan iltizam USM dalam memperkasakan pendidikan fleksibel dan memperluas akses pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat.

Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob berkata, majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap kesungguhan dan pengorbanan pelajar RPJJ yang berusaha tanpa mengenal erti lelah sehingga mencapai keputusan cemerlang.

Beliau turut merakamkan harapan agar kejayaan yang dikecapi menjadi pemangkin untuk para pelajar terus melakar kecemerlangan lebih gemilang pada masa hadapan, sekaligus menyumbang semula ilmu pengetahuan kepada pembangunan negara.

IMG 20260223 WA0098

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil dan anugerah kepada para penerima sebagai simbol penghormatan atas pencapaian akademik yang diraih, sekaligus menyuntik semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam perjalanan ilmu dan kerjaya.

IMG 20260223 WA0082

Permohonan kemasukan ke RPJJ USM bagi Fasa 1 masih dibuka mulai 21 Januari 2026 hingga 10 April 2026. Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui laman sesawang pohon.usm.my.

Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM

  • Created on .
  • Hits: 178

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025