IJAZAH PERUBATAN USM DIIKTIRAF SECARA RASMI OLEH SINGAPURA MULAI 1 FEBRUARI
PULAU PINANG, 2 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan bangganya mengumumkan bahawa ijazah perubatan yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Sains Perubatan USM telah diiktiraf secara rasmi oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC) dan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura.

Ini menjadikan USM universiti ketiga di Malaysia yang ijazah perubatannya diterima untuk berkhidmat di Singapura selepas Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bermula 1 Februari 2026, USM menyertai senarai lapan institusi luar negara baharu yang kelayakan perubatannya diiktiraf di Singapura.
Pengiktirafan ini menekankan komitmen USM terhadap kecemerlangan dalam pendidikan perubatan serta peranannya dalam melahirkan profesional penjagaan kesihatan bertaraf dunia.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata: “Pengiktirafan ini adalah bukti kepada kualiti latihan perubatan kami dan dedikasi pensyarah serta pelajar. Ia mengesahkan kedudukan USM sebagai sebuah institusi terkemuka di rantau ini dan membuka peluang baharu untuk graduan kami menyumbang kepada penjagaan kesihatan di Singapura dan di peringkat antarabangsa.”
Singapura secara berkala menilai senarai kelayakan perubatan yang boleh didaftarkan bagi memastikan doktor yang dilatih di luar negara memenuhi piawaian setanding dengan institusi perubatannya sendiri.
Antara faktor yang diambil kira termasuk:
- Kedudukan universiti dalam ranking antarabangsa;
- Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar;
- Prestasi doktor yang dilatih di institusi tersebut.
Dengan penambahan terkini, jumlah institusi perubatan luar negara yang diiktiraf di Singapura meningkat daripada 112 kepada 120.
Institusi baharu yang diiktiraf (untuk pengambilan 2026 dan seterusnya):
- Universiti Sains Malaysia - Pusat Pengajian Sains Perubatan (Malaysia)
- Adelaide University - College of Health (Australia)
- Manipal Academy of Higher Education - Kasturba Medical College, Manipal (India)
- University of Galway - School of Medicine (Ireland)
- The Aga Khan University Medical College (Pakistan)
- Tsinghua University - School of Medicine (China)
- University of Exeter - Faculty of Health and Life Sciences (Britain)
- City St George’s, University of London - School of Health and Medical Sciences (Britain)
Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, yang ditubuhkan pada tahun 1979, telah secara konsisten melahirkan profesional perubatan berkemahiran tinggi yang berkhidmat kepada masyarakat di dalam dan luar negara.
Sumber asal: The Straits Times, 27 Jan 2026/Terjemahan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 99