INISIATIF PLASTIK LESTARI DAN EKONOMI KITARAN KOMUNITI PERKUKUH AMALAN KITAR SEMULA DI PARIT BUNTAR
PARIT BUNTAR, PERAK, 10 Februari 2026 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin terus mempergiat usaha memperkasa kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti menerusi penganjuran Inisiatif Plastik Lestari dan Ekonomi Kitaran Komuniti Fasa 1 2026 di Dewan Terbuka, Taman Murni, hari ini.
Dekan PPKBSM, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff, berkata program tersebut mencerminkan peranan universiti sebagai pemacu perubahan lestari selaras dengan misi USM, Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.
“Program seperti ini bukan sekadar aktiviti kesedaran, tetapi merupakan platform pemindahan ilmu dan teknologi universiti kepada masyarakat. Ia selari dengan aspirasi USM sebagai Universiti APEX yang menekankan kelestarian, impak sosial, dan penglibatan komuniti secara berterusan,” katanya.
Beliau menegaskan pendekatan ekonomi kitaran mampu membuka peluang baharu kepada komuniti setempat, khususnya golongan B40.
“Apabila masyarakat memahami nilai sisa dan cara pengurusan yang betul, kita bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah berpotensi menjana pendapatan serta mewujudkan komuniti yang lebih berdaya tahan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” tambahnya.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Rukun Tetangga (KRT) Taman Murni, Tzu Chi Association, dan Desasiswa Jaya Lembaran Utama, serta disokong oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM melalui Geran Community Engagement.
Program yang diketuai Dr. Mohamad Danial Shafiq itu mengguna pakai pendekatan bersepadu merangkumi penilaian awal dan pasca Knowledge, Attitude and Practice (KAP), sesi perkongsian ilmu serta aktiviti interaktif berasaskan pengalaman sebenar.
Program tersebut juga bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan sisa plastik, amalan kitar semula yang betul, dan potensi ekonomi kitaran dalam kehidupan seharian.
Melalui pemindahan ilmu secara sistematik dan latihan kemahiran praktikal, program berkenaan menyasarkan pemerkasaan komuniti pinggir bandar agar lebih berupaya menjana pendapatan secara mampan.
Dalam program tersebut juga, peserta didedahkan kepada perspektif baharu bahawa sisa plastik bukan semata-mata bahan buangan, sebaliknya sumber bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk menyokong kelestarian ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup.
Aktiviti pengasingan sisa secara praktikal turut dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan peserta untuk mengamalkan kitar semula di peringkat isi rumah.
Hasil pelaksanaan program menunjukkan peningkatan ketara dari segi pengetahuan, sikap, dan amalan peserta terhadap pengurusan sisa dan konsep ekonomi kitaran, sekali gus memperkukuh kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
Selain elemen tanggungjawab sosial melalui sumbangan Ramadan, inisiatif tersebut turut membuka laluan kepada kesinambungan impak menerusi Fasa 2: Trash Transformers yang akan memberi tumpuan kepada inovasi kitar semula dan penjanaan kewangan komuniti.
Penganjuran program tersebut diharap menjadi pencetus perubahan dalam amalan pengurusan sisa di peringkat komuniti serta mengukuhkan jalinan kerjasama antara universiti dan masyarakat ke arah pembangunan mampan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Murni, Haji Mohd Radzi Ramli; Ketua Cawangan Tzu Chi Association Nibong Tebal, Wong Sing Chooy; dan Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Hasliza Mat Saad.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 138