UFAS BANTU PULIHKAN KECACATAN BAYI TEMPANG
PULAU PINANG, 31 Okt. 2013 – Inovasi unik ciptaan sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) memberi sinar buat bayi yang kurang bernasib baik akibat kecacatan kaki ketika dilahirkan atau lebih sinonim dengan nama clubfoot patients (CFP).
User Friendly Abduction Splint (UFAS) ciptaan Mohd Fahmi Hamzah dari Unit Pemulihan, Hospital USM adalah sejenis kasut khas diperbuat dari kulit lembut yang berupaya mengatasi kecacatan kekal pada bayi dan membolehkan bayi yang mengalami kecacatan CFP berjalan dengan baik seperti kanak-kanak normal yang lain.
Hadir mewakili Mohd Fahmi, Dr. Mohd. Zulkifli Abdul Rahim (Pusat Pengajian Sains Kesihatan) berkata, UFAS dibangunkan dengan mengambil kira pendangan pakar-pakar perubatan dan ia telah diuji terhadap pesakit di Hospital USM.
Katanya, UFAS yang terbukti dapat memperbaiki struktur tulang buku lali bayi turut mendapat pengiktirafan banyak pihak termasuk pakar-pakar ortopedik, juruterapi, ahli fisioterapi dan sebagainya.
``Sebelum wujudnya UFAS, kebanyakan pesakit CFP tidak mendapat rawatan yang sepatutnya disebabkan kos yang agak tinggi, selain produk sedia ada yang kurang didapati kurang selesa untuk digunakan terhadap bayi.
``Dengan UFAS, ia bukan sekadar ringan dan mudah digunakan, malah dapat disediakan dalam tempoh yang singkat iaitu sekitar dua minggu berbanding sebulan untuk produk sedia ada di pasaran,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media memperkenalkan inovasi i-OKU yang dipertandingkan dalam pertandingan dan pameran produk inovasi I-Innova 2013. Sidang media itu dipengerusikan Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey.
Tambah beliau, kos UFAS jauh lebih rendah iaitu RM150 berbanding RM1,000 untuk produk sama yang ditempah dari luar negara.
``UFAS memberi keselesaan kepada kaki bayi dan ia turut dihasilkan dalam bentuk yang menarik, sama seperti kasut biasa yang boleh dihasilkan mengikut saiz dan keperluan setiap bayi,’’ ujar beliau.
UFAS turut mendapat pengiktirafan apabila berjaya memenangi pingat perak dalam i-Inova. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1349