USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA SUMBANGAN ZAKAT WAKALAH MAYBANK ISLAMIC LEBIH RM456,000, RINGANKAN BEBAN 571 PELAJAR B40

633146164 1430411135792298 302673656548336862 n

USM PULAU PINANG, 16 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima sumbangan zakat wakalah berjumlah RM456,206.13 daripada Maybank Islamic Berhad, bagi membiayai penginapan serta peralatan pengajian untuk 571 pelajar Program Siswa Sulung iaitu pelajar generasi pertama daripada keluarga B40 yang berdepan cabaran kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.

634969003 1430411215792290 1663699149873505070 n

Majlis sumbangan zakat tersebut turut dihadiri Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Dr. Muhd Ramadhan Fitri Ellias, selain barisan pengurusan tertinggi kedua-dua institusi.

635021089 1430368185796593 2189169823304573750 n

633916190 1430368179129927 3715548566775693033 n

Dalam ucapannya, Abdul Rahman menzahirkan penghargaan kepada Maybank Islamic Berhad atas komitmen berterusan membantu kebajikan pelajar universiti, khususnya golongan asnaf, B40, dan pelajar berkeperluan khas.

“Saya yakin bantuan kewangan sebegini amat signifikan dalam memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dalam suasana kondusif tanpa dibelenggu tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat,” jelas beliau.

Menurut beliau lagi, di USM sendiri kira-kira 70 peratus pelajar terdiri daripada golongan B40. Sebahagian besar daripada mereka bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bukan sahaja untuk menampung kos pengajian, malah turut digunakan bagi membantu menampung keperluan keluarga.

634647692 1430366882463390 4274339694043281455 n

“Sumbangan zakat seperti ini memberi makna yang amat besar kepada kelangsungan pendidikan mereka. Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga sinar harapan untuk memastikan anak-anak B40 terus berpeluang menamatkan pengajian dengan jayanya di USM,” katanya.

Sementara itu, Muhd Ramadhan pula berkata, Maybank Islamic percaya pelaburan terbaik adalah melalui pendidikan kerana ia membuka peluang masa depan dan membangunkan modal insan yang berdaya saing tanpa mengira latar belakang.

634984138 1430368622463216 7659552818649671486 n

“Saya bagi pihak Maybank Islamic berharap sumbangan tersebut dapat merapatkan jurang pendidikan dan menyemai semangat dalam kalangan pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” kata beliau.

635274332 1430368342463244 2973539914408934033 n

Beliau turut menegaskan komitmen institusi kewangan itu untuk terus bekerjasama dengan USM dalam memperkasa ekosistem kebajikan pelajar dan menyokong agenda transformasi pendidikan tinggi demi kelestarian masa hadapan.

Kerjasama strategik antara USM dan Maybank Islamic ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memperkukuh kebajikan pelajar serta memastikan akses pendidikan tinggi kekal inklusif dan mampan untuk semua lapisan masyarakat.

636700547 1430409715792440 3742567748146695563 n

Turut hadir di majlis ialah Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim; Pengarah Wilayah Utara, Maybank Islamic Berhad, Shukor Mohd. Nor; Pengarah, Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq (ZAWAIN), USM, Profesor Madya Dr. Anwar Allah Pitchay; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), USM, Azfar Al Hafiz Azman; dan barisan pengurusan tertinggi Maybank Islamic Berhad kawasan utara.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 110

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025