BAUCER BUKU UNTUK PELAJAR SAINS TULEN DAN SASTERA TULEN
PULAU PINANG, 31 Oktober 2013 – Universiti Sains Malaysia seperti kelazimannya sejak kemasukan 2009/2010 memberikan Baucer Buku APEX kepada pelajar-pelajar dalam bidang Sains tulen dan Sastera tulen. Pada tahun ini, buat pertama kalinya pengurusan pemberian baucer ini dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) dan tetap bekerjasama dengan Koperasi USM Berhad (KUB).
Berucap di majlis penyampaian baucar-baucer tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata baucar ini adalah sebagai salah satu galakan dan tarikan kepada pelajar di dalam bidang ini. Baucar ini diberikan kepada semua pelajar baharu kemasukan sidang 2013/2014 di dalam bidang tersebut serta pelajar tahun dua dan tiga yang berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.00 ke atas.
“Para pelajar adalah disarankan supaya menggunakan segala kemudahan yang diberi dengan sebaik mungkin serta menghargainnya. Selain itu, para pelajar juga diharapkan untuk mengekalkan prestasi cemerlang di dalam akademik,” kata Ahmad Shukri.
Beliau juga berkata, pada kemasukan baru-baru ini terdapat peningkatan terhadap bilangan pelajar yang diterima mendaftar dalam bidang-bidang yang disebutkan.
Bermula hari ini, seramai 478 orang pelajar tahun pertama kursus tersebut melalui kemasukan Saluran Perdana dan 397 orang pelajar tahun dua dan tiga akan menuntut baucar tersebut di Kompleks Cahaya Siswa USM. Setiap pelajar akan menerima baucar bernilai RM300.00 seorang dan perlu dibelanjakan di KUB.
Menurut Timbalan Pengurus Besar yang mewakili Pengarah KUB, Aida Rosimi Mat Yusof, KUB bersedia memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan keperluan pembelajaran dan keperluan pelajar dapat dipenuhi.
Selain baucar buku, para pelajar baharu menerima insentif wang tunai dan insentif penerbangan untuk pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan. Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1292