USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKENAL DASAR BAHARU CPD 2026, STAF WAJIB KUMPUL MINIMUM 40 JAM LATIHAN SETAHUN

657567

USM PULAU PINANG, 26 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan dasar baharu yang mewajibkan semua staf mengumpul minimum 40 mata Continuing Professional Development (CPD) atau bersamaan 40 jam latihan setahun, bermula tahun ini.

Di bawah dasar baharu berkenaan, semua kategori staf meliputi Pengurusan Tertinggi (Gred Khas/Gred Utama), Kumpulan Pengurusan & Profesional (Pentadbiran) serta Pelaksana perlu mengikuti program latihan, pembangunan bakat, dan peningkatan kompetensi secara berterusan dengan mengumpul sekurang-kurangnya 40 mata CPD setahun.

545465464

Pengenalan dasar itu selaras usaha universiti memperkukuh pembangunan bakat dan kompetensi warga kerja, sekali gus membudayakan tadbir urus cemerlang di semua peringkat jawatan.

Pelaksanaannya juga bertepatan dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia: Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam Versi 1.0 (2024) yang berkuat kuasa mulai 1 September 2025.

Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata, inisiatif itu berupaya meningkatkan kecekapan, profesionalisme, dan kesiapsiagaan staf dalam menghadapi tuntutan kerja yang semakin dinamik.

Menurutnya, pelaksanaan dasar berkenaan turut menyokong agenda transformasi perkhidmatan universiti ke arah tadbir urus yang lebih cekap, berkualiti dan berimpak tinggi, selain menjadi langkah strategik dalam memperkasa modal insan serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan staf.

“Dasar baharu pengumpulan mata CPD ini bukan sekadar memenuhi keperluan pekeliling, sebaliknya menjadi platform berstruktur untuk memastikan setiap staf terus meningkatkan ilmu, kemahiran, dan kompetensi selaras dengan keperluan semasa perkhidmatan awam dan aspirasi kecemerlangan universiti.

“Melalui penglibatan aktif dalam program latihan dan pembangunan, staf akan lebih bersedia, berdaya saing serta mampu menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti kepada universiti serta pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Sesi Townhall: Dasar Baharu Pengumpulan Mata CPD (2026) bagi staf USM, anjuran Pusat Transformasi Insan USM di sini semalam.

876878

Hadir sama menyampaikan taklimat pengenalan dasar baharu itu ialah Pengarah Pusat Transformasi Insan USM, Nurul Izzati Rozali.

Sesi berkenaan turut dijalankan di semua kampus USM termasuk Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), dan Kampus Kesihatan di Kubang Kerian.

Teks: Marziana Mohamed Alias 

  • Created on .
  • Hits: 203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025