USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM–INTEL FOKUS KURIKULUM, MAKMAL DAN PENYELIDIKAN SEMIKONDUKTOR

628162433 1499253442205085 2025830963411458706 n

NIBONG TEBAL, 6 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan kerjasama strategik dengan Intel Corporation melalui lawatan rasmi delegasi syarikat itu ke Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kurikulum berorientasikan industri, pemerkasaan kemudahan makmal, dan peluasan kerjasama penyelidikan dalam bidang semikonduktor.

Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, pemilihan USM sebagai rakan universiti strategik Intel mencerminkan keupayaan akademik dan penyelidikan kampus dalam menyokong keperluan teknologi tinggi industri.

626734643 1499253578871738 4043157326778111441 n

Beliau menambah bahawa salah satu inisiatif utama hasil kerjasama ini ialah pembangunan satu kursus elektif dalam pembungkusan elektronik lanjutan, yang direka dengan input terus daripada industri bagi memastikan kurikulum selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa sumbangan peralatan Intel kepada Makmal Mikroprosesor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) USM, telah meningkatkan keupayaan latihan amali dan pendedahan pelajar kepada teknologi sebenar yang digunakan dalam industri.

628007618 1499253695538393 4084645880647768001 n

Selain daripada aspek pengajaran, kerjasama ini turut membuka peluang bagi USM terlibat dalam inisiatif pembangunan teknologi reka bentuk IC nod (rangkaian) termaju (18A) Intel, khususnya melalui sokongan kepada penyelidikan, pembangunan kompetensi, dan perkongsian kepakaran antara penyelidik universiti dan industri.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Collaborative Microelectronic Design Excellence Centre (CEDEC) Advanced Semiconductor Research Laboratory yang dipacu oleh Intel 18A PDK memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem ‘fabless’ untuk reka bentuk cip AI SoC, dengan tujuan utama bagi pendidikan dan penyelidikan.

626841624 1499253785538384 5188932872793595972 n

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan dan Kolaborasi Universiti, Intel Corporation (Intel Labs), Gabriella Cruz Thompson berkata, Intel melihat USM sebagai rakan strategik penting dalam menyokong agenda penyelidikan global dan pembangunan bakat dalam bidang semikonduktor dan pengkomputeran generasi baharu.

Menurut beliau, Intel Labs giat menjalinkan kerjasama dengan universiti dalam bidang reka bentuk bersama perkakasan-perisian, kecerdasan buatan (AI), keselamatan dan kepercayaan sistem pengkomputeran, serta seni bina pengkomputeran, yang memerlukan kepakaran rentas disiplin selari dengan kekuatan akademik USM.

Cruz turut menyatakan bahawa pembangunan bakat kekal sebagai keutamaan Intel, merangkumi latihan teknikal, pengajian peringkat ijazah hingga pasca-doktoral, serta pelaksanaan micro-credentials bagi menyokong peningkatan dan penyesuaian kemahiran tenaga kerja sedia ada.

629343951 1499253702205059 1312156572167848083 n

Malah, lawatan tersebut turut menjadi platform perbincangan bagi mengenal pasti peluang kerjasama penyelidikan baharu, termasuk sokongan geran penyelidikan industri kepada pensyarah, sejajar dengan hala tuju teknologi semikonduktor dan keperluan industri global.

Intel, sebuah syarikat teknologi global terkemuka dalam penghasilan semikonduktor dan penyelesaian pengkomputeran, menjalinkan kerjasama dengan lebih 200 universiti setiap tahun, termasuk sekitar 45 institusi yang disenaraikan sebagai rakan strategik termasuk USM.

628433556 1499253918871704 4112790449624245115 n

Jaringan ini meliputi institusi akademik di Amerika Syarikat serta negara utama operasi Intel seperti Malaysia, Vietnam, China, Costa Rica, dan Mexico, merangkumi bidang penyelidikan, pembangunan bakat, dan penglibatan akademik berkaitan industri semikonduktor.

629319472 1499253818871714 681275714835575122 n

Turut hadir pada lawatan ini ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi, serta Pengarah Kumpulan Kompetensi Teras merangkap Pengurus Tapak Pembangunan Teknologi Pemasangan dan Ujian Malaysia, Intel Microelectronics (M) Sdn. Bhd., Dr. Loh Wei Keat.

Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 86

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025