PASUKAN USM HYDROLINK ANTARA 12 TERBAIK DUNIA DI PERTANDINGAN AKHIR INOVASI AAKRUTI DI AMERIKA SYARIKAT

HOUSTON, TEXAS, 9 Februari 2026 – Pasukan USM Hydrolink yang mewakili Malaysia dan Asia Pasifik Selatan mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai antara 12 pasukan terbaik dunia dalam pertandingan akhir International AAKRUTI Innovation Competition 2025.
Kejayaan dalam pertandingan berprestij yang berlangsung sempena 3DEXPERIENCE World pada 4 Februari 2026 baru-baru ini telah membuktikan keupayaan pelajar USM untuk bersaing di peringkat antarabangsa dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi.
USM Hydrolink Team dianggotai oleh 4 pelajar iaitu Kang Zhen Lin, Alif Danial Zulkipli, Siew Wei Hong, dan Darren Tong Kai Xuan, dan seorang Mentor iaitu Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Pasukan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM itu menerima pengiktirafan menerusi inovasi “AQUASHIELD”, sebuah sistem mitigasi banjir yang praktikal dan berkesan dalam menangani risiko serta impak bencana banjir.
AAKRUTI Innovation Competition 2025 merupakan pertandingan inovasi pelajar yang mempertandingkan penyelesaian lestari dalam empat kategori utama merangkumi produk untuk kesejahteraan manusia, mobiliti lestari, infrastruktur bandar mampan, dan teknologi tenaga hijau.

Sebanyak 12 pasukan terbaik dunia dari sembilan negara iaitu Malaysia, Indonesia, United Kingdom, Mexico, Sepanyol, Afrika Selatan, Turki, Singapura dan India yang tersenarai dalam pertandingan akhir ini di mana kesemuanya menggunakan platform 3DEXPERIENCE dan aplikasi SOLIDWORKS bagi membangunkan inovasi masing‑masing.
Kejayaan Pasukan USM Hydrolink mencerminkan komitmen teguh, kecemerlangan teknikal, serta sokongan berterusan daripada pelbagai pihak berkepentingan yang telah mendukung pasukan tersebut sepanjang perjalanan mereka ke pentas antarabangsa.
Teks: Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, USM/ Foto: Ihsan Pasukan USM Hydrolink
- Created on .
- Hits: 190