USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IMC: KEJAYAAN TAWAR IJAZAH DI LUAR PULAU PINANG

KUALA LUMPUR, Okt. 2013 – Tujuh graduan sulung program Sarjana Komunikasi Pemasaran Bersepadu (IMC), Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditempatkan di ibu negara menjadi antara kejayaan yang harus dibanggakan dan dikongsi dengan semua warga kampus.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Profesor Dr. Adnan Hussein berkata, kumpulan graduan yang baru sahaja menerima skrol dalam Upacara Konvokesyen ke-48 USM baru-baru ini menjadi penanda aras untuk program itu terus diperkemas dan dikembangkan.

Katanya, program IMC adalah antara program unik yang ditawarkan dan sehingga kini sambutan terhadap program tersebut amat memberangsangkan.

``Program ini juga menjadi antara kejayaan USM dalam meluaskan sayapnya di luar Pulau Pinang,’’ katanya ketika mengadakan lawatan bagi meninjau perkembangan kampus program IMC di sini baru-baru ini.

Beliau juga adalah antara individu penting  yang telah membantu menjayakan hasrat Universiti menubuhkan program tersebut di ibu negara.

Adnan dalam ucapannya juga berkata, banyak cabaran yang terpaksa dilalui dalam menjayakan hasrat penubuhan IMC namun tetap gembira kerana pada akhirnya matlamat tersebut berjaya dilaksanakan dan berkembang dengan baik.

``Secara peribadinya saya gembira atas kejayaan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) dan berharap semua pelajar dapat memberi tumpuan yang tinggi agar sentiasa mencapai kecemerlangan dalam pengajian masing-masing,’’ katanya.

Adnan yang juga pernah menjadi Dekan di PPK hadir sempena Kolokium Pengajian Siswazah yang turut disertai hampir 100 pelajar. Turut hadir ialah Dekan PPK, Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto sumbangan: Pusat Pengajian Komunikasi

  • Created on .
  • Hits: 984

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024