PP SAINS FARMASI ADAKAN KEMPEN KESEDARAN KERINTANGAN ANTIBIOTIK DALAM MASYARAKAT
PULAU PINANG, 29 Oktober 2013 – Para penyelidik Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) Universiti Sains Malaysia menemui kira-kira 30 orang pemimpin masyarakat di daerah timur laut Pulau Pinang bagi menerangkan mengenai kerintangan antibiotik baru-baru ini sebagai salah satu langkah untuk memupuk kesedaran dan mengembangkan kempen rintangan antibiotik dalam kalangan masyarakat setempat bertempat di Dewan Masyarakat Makloom 1Malaysia, Sg. Pinang di sini.
Menurut penyelidik utama projek , Profesor Dr Mohamed Azmi Ahmad Hassali, program sebegini adalah penting supaya maklumat-maklumat terkini dalam bidang farmasi dapat disampaikan terus kepada masyarakat yang juga pengguna ubat-ubatan.
Program sehari itu juga turut dihadiri oleh Dato' Rashid Ismail, Presiden Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang, S. Tanimalai yang mewakili Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang dan Farook Sk. Mohd yang menyampaikan ucapan mewakili pemimpin lain.
Menurut Mohamed Azmi yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan) PPSF lagi, keputusan kaji selidik garis dasar itu juga dibincangkan dengan penekanan kepada tahap pengetahuan masyarakat umum mengenai penggunaan rasional rintangan antibiotik dan antibiotik.
Turut diadakan ialah perkongsian pengalaman Pegawai Penyelidik PPSF, Muhammad Sharrieffuddin Mohd Jaki mengenai persidangan yang dihadiri di Cuenca, Ecuador dan membentangkan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dan kemajuan semasa projek ini kepada rakan-rakan lain dan organisasi masyarakat sivil dari seluruh dunia.
Beliau juga menerangkan pendekatan-pendekatan yang digunakan oleh organisasi di negara lain seperti Indonesia, Thailand, Ecuador dan Nicaragua dalam menyebarkan maklumat mengenai penggunaan antibiotik secara rasional dan juga bahaya kerintangan antibiotik dalam usaha menangani permasalahan ini.
Tambah Mohamed Azmi, Komuniti 1Malaysia yang lain adalah sangat teruja untuk terlibat dalam projek ini berikutan kejayaan acara ini dan pihaknya akan berusaha mengadakan lebih banyak aktiviti seumpama ini pada masa hadapan. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto sumbangan: Muhammad Sharrieffuddin Mohd Jaki
- Created on .
- Hits: 1225