USM SEMARAK RAMADAN DENGAN EDARAN BUBUR LAMBUK
USM PULAU PINANG, 10 Februari 2026 – Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program Gempur Ramadan 2026 (Ramadan Kampus Rahmah) bertemakan “Jom Kongsi Rezeki” bagi menyemarakkan keberkatan Ramadan serta memupuk nilai kebersamaan dan budaya kebajikan dalam kalangan komuniti kampus.

Program yang berlangsung pada petang ini menampilkan aktiviti edaran bubur lambuk secara percuma kepada warga kampus, dengan lima lokasi edaran utama melibatkan Foyer Bangunan Canselori, Dataran Bintang, Jabatan Keselamatan, Pusat Sejahtera, dan Pusat Pengajian Sains Farmasi.

Sebanyak 200 pek bubur lambuk disediakan di setiap stesen bagi dinikmati oleh warga USM.
Menurut Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari, program ini bukan sahaja menjadi tradisi tahunan yang dinanti-nantikan, malah berperanan memperkukuh semangat kebersamaan dan kepedulian sosial dalam kalangan warga kampus.

“Ramadan adalah bulan penuh rahmah, dan melalui edaran bubur lambuk ini kita meraikan budaya berkongsi rezeki serta mengeratkan silaturahim,” katanya.
Pusat Islam USM merakamkan penghargaan atas sokongan semua pihak yang menjayakan program ini dan berharap usaha sebegini dapat terus diperkasa pada masa hadapan.
Teks: Tan Ewe Hoe/ Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 188