USM PILIHAN AUSTRALIA ANJUR YES 2013
PULAU PINANG, 23 Oktober 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) diberi penghormatan apabila menjadi pilihan Sydney Olympic Park, University of Western Sydney, Australia menganjur Youth Eco Summit 2013 (YES 2013) pada 23-24 Oktober ini di USM.
YES 2013, buat kali kedua penganjuran oleh Australia yang dihoskan Pusat Kepakaran Serantau, Universiti Sains Malaysia merupakan aktiviti, perbincangan dan inovasi berasaskan kelestarian yang memfokuskan kepada pelajar dan guru sekolah setiap peringkat.
Menurut Prof. Ismail Abustan, Pengurus Program YES 2013 yang juga Fellow Kanan di Pusat Penyelidikan Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia, program ini antara matlamatnya ingin menerapkan kepimpinan pelajar dan mempamerkan pencapaian mereka dalam mengamalkan aktiviti kelestarian yang wajar dicontohi.
“Program ini melibatkan 3 buah negara iaitu Malaysia, Jerman dan penganjur utama Australia di mana setiap pembentangan yang ditetapkan dipersembahkan melalui tele-sidang serentak di ketiga-tiga buah negara,” katanya selepas sesi pembentangan dari pihak Malaysia.
Tambah beliau, memandangkan generasi muda kini dibelenggu krisis pemanasan global dan pencemaran alam sekitar, seharusnya persidangan seperti ini diperbanyakkan kepada generasi ini agar bersedia berhadapan situasi lebih getir akan datang.
Selain itu, Ismail juga berharap dengan adanya aktiviti seperti ini ia dapat memisahkan corak pemikiran pelajar supaya tidak hanya menuntut ilmu semata-mata untuk cemerlang dalam peperiksaan malah menjadikan mereka berdaya fikir luar kotak dan mampu menginovasi setiap apa yang dipelajari.
YES 2013 kali ini telah mendapat penyertaan dari 5 buah sekolah rendah dan menengah bereputasi tinggi iaitu Sekolah Rendah Convent Greenlane, Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau, Sekolah Kebangsaan Minden Height, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pauh Jaya.
Sehingga kini jumlah keseluruhan yang terlibat dalam penganjuran Youth Eco Summit adalah seramai 6000 orang pelajar, 160 buah Sekolah dan lebih 40 penyedia program di ketiga-tiga negara. - Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1262