USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR LANCAR TABUNG AKTIVITI RAMADAN USM 1447H, SERU WARGA KAMPUS HAYATI RAMADAN KAMPUS RAHMAH

IMG 20260206 WA0101

USM PULAU PINANG, 6 Februari 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Islam terus menyemarakkan ketibaan bulan Ramadan dengan Pelancaran Tabung Aktiviti Ramadan USM 1447 Hijrah oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di Majlis Hilal Ramadan 1447H/2026M yang berlangsung di Masjid Al-Malik Khalid, hari ini.

Pelancaran Tabung Aktiviti Ramadan USM ini merupakan simbolik bermulanya agenda pengimarahan bulan Ramadan kali ini di kampus induk USM.

Pada ucapan perasmian, Naib Canselor USM menzahirkan rasa syukur kerana warga kampus dapat berhimpun menjelang Ramadan yang disifatkan sebagai madrasah rohani untuk meningkatkan ketakwaan dan memperkukuh nilai kemanusiaan.

IMG 20260206 WA0103

“Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi ruang tarbiah yang membentuk jiwa, menghidupkan nilai ihsan dan menyemai keprihatinan terhadap golongan memerlukan,” kata beliau.

Tambah beliau, universiti telah merancang pelbagai program sepanjang Ramadan dan Syawal, termasuk penyediaan juadah iftar harian kepada kira-kira 1,500 jemaah dengan penglibatan 100 hingga 120 sukarelawan secara bergilir.

“Usaha ini memerlukan sokongan berterusan semua pihak. Setiap sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu meringankan beban mereka yang memerlukan, malah menjadi asbab keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda,” kata Abdul Rahman lagi.

IMG 20260206 WA0106

Secara keseluruhan, kira-kira 15 program bakal dilaksanakan dengan anggaran kos sekitar RM315,000 bagi menjayakan pelbagai inisiatif kebajikan dan pengimarahan Ramadan.

“Jadi saya menyeru seluruh warga universiti dan masyarakat setempat agar bersama-sama menyumbang kepada Tabung Aktiviti Ramadan demi menyemarakkan budaya kebersamaan di kampus.

“Kita mahu menjadikan kampus ini sebagai Kampus Rahmah yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, tetapi juga subur dengan nilai kasih sayang, kepedulian sosial, dan semangat memberi,” katanya lagi.

IMG 20260206 WA0105

Selain penyediaan iftar, Pusat Islam USM turut merancang pelbagai pengisian rohani seperti tadarus al-Quran, qiamullail, majlis ilmu serta program ziarah kebajikan termasuk bantuan kepada warga kampus yang uzur dan memerlukan sokongan.

Usaha ini selari dengan tema “Ramadan Kampus Rahmah” yang menekankan nilai rahmah, keprihatinan sosial, dan kelestarian dalam setiap pelaksanaan program.

IMG 20260206 WA0107

Majlis turut diisi dengan Tausiyah Ramadan sebelum para hadirin menunaikan solat Jumaat secara berjemaah, sekali gus menzahirkan kesatuan spiritual warga kampus dalam menyambut bulan penuh keberkatan.

Turut hadir ke majlis ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim; dan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zahri.

Warga kampus dan orang ramai yang ingin menyumbang infaq sempena Ramadan boleh berbuat demikian melalui kemudahan pembayaran kod QR Tabung Infaq Ramadan Pusat Islam USM yang disediakan, bagi bersama-sama menyokong usaha kebajikan serta meraih ganjaran pahala sepanjang bulan Ramadan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/ Foto: Pusat Islam USM

  • Created on .
  • Hits: 328

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025