CPR USM ANJUR DIALOG DASAR ASEAN MENGENAI PENYELESAIAN PERTUMBUHAN BERSAMA

USM PULAU PINANG, 5 Februari 2026 – Pusat Penyelidikan Dasar (Centre for Policy Research, CPR), Universiti Sains Malaysia (USM), telah berjaya menganjurkan Siri Dialog Dasar CPR bertemakan “ASEAN Policy Solutions for Shared Growth” bertempat di Auditorium Murad Mohd Noor, sains@usm, Bukit Jambul.

Program ini menghimpunkan pembuat dasar, ahli ekonomi, ahli akademik serta pemimpin institusi terkemuka bagi membincangkan cabaran utama dan peluang baharu dalam memacu pertumbuhan serantau ASEAN yang inklusif, mampan, dan seimbang.
Dalam ucapan alu-aluannya, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, Pengarah CPR, menegaskan kepentingan dialog berasaskan bukti dalam membentuk dasar awam yang berkesan.


“CPR komited untuk berperanan sebagai platform strategik yang merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dan keperluan dasar sebenar, sekali gus menyumbang kepada penyelesaian yang berimpak dan berpandangan jauh untuk Malaysia serta rantau ASEAN,” katanya.
Program ini menampilkan syarahan plenari utama oleh YAB Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Bekas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, bertajuk “Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN dan Kerjasama Sub-Serantau”. Ucapan tersebut menekankan peranan penting kerjasama serantau dalam menangani ketidaktentuan ekonomi global dan memperkukuh daya tahan ASEAN.

Satu panel dasar peringkat tinggi turut diadakan bagi membincangkan isu Halangan Bukan Tarif (Non-Tariff Barriers, NTBs) dan Fragmentasi Peraturan, yang terus menjadi cabaran utama kepada usaha memperdalam integrasi ekonomi ASEAN.
Sesi ini dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk dan menampilkan panelis terkemuka iaitu Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sulaiman Mahbob, Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dan Dato’ Dr. Ooi Kee Beng, Pengarah Eksekutif Penang Institute.


Program ini turut menyaksikan Pelancaran Awal IMPAKT Nasional, satu inisiatif CPR yang bertujuan memperkukuh pengukuran impak dan penilaian dasar bagi menyokong pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat, yang dipengerusi oleh tokoh korporat, Dato Seri Nazir Ariff.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, turut gembira dengan perkembangan ini.
USM sentiasa bersedia untuk memajukan penyelidikan berkaitan dasar dan kepimpinan pemikiran serantau.
Beliau menekankan bahawa melalui Pusat Penyelidikan Dasar (CPR), USM sedang mengukuhkan kedudukan sebagai hab penyelesaian dasar ASEAN dengan menangani isu kritikal seperti Halangan bukan Tarif, serta menerajui inisiatif seperti IMPAKT Nasional untuk mempertingkatkan penilaian kesan dasar berasaskan bukti.
Beliau berharap melalui CPR, Universiti Sains Malaysia akan terus memainkan peranan proaktif dalam menyokong pembangunan dasar berasaskan bukti dan pembangunan mampan, menyumbang penyelesaian bermakna untuk Malaysia dan rantau ASEAN secara keseluruhan.


Program diakhiri dengan sesi dialog interaktif bersama para peserta, diikuti majlis ringkas penyampaian cenderamata serta jamuan tengah hari dan sesi jaringan kerjasama.
Teks: Pusat Penyelidikan Dasar (CPR), USM/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 288