USM PERKUKUH TADBIR URUS, PERKASA PEGAWAI PENGURUSAN DAN PROFESIONAL (PENTADBIRAN)

USM PULAU PINANG, 5 Februari 2026 – Kenaikan pangkat bukan sekadar peningkatan gred jawatan, sebaliknya adalah pengiktirafan, kepercayaan, dan amanah besar yang diberikan organisasi kepada staf yang berkelayakan.
Berlandaskan semangat itu, Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Program Pemantapan dan Pengukuhan Tadbir Urus Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) bagi memperkukuh pemahaman pegawai terhadap cabaran serta tanggungjawab dalam organisasi.
Program khas berkenaan menghimpunkan 171 pegawai yang menerima kenaikan pangkat secara eksesais ‘one-off’ di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan kenaikan pangkat secara hakiki.

Daripada jumlah itu, 96 pegawai terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pentadbiran) Kampus Induk, manakala 74 lagi dari Kampus Kesihatan yang kini menggalas tanggungjawab lebih besar dalam ekosistem pentadbiran universiti.
Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata, kenaikan pangkat bukan tiket untuk bermegah-megah, sebaliknya perlu disertai peningkatan tanggungjawab, kemahiran kepimpinan, dan kompleksiti tugas.
Menurutnya, pegawai bukan sahaja perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan, malah harus melangkaui peranan tersebut dengan memperkukuh kompetensi sebagai pakar rujuk dalam bidang masing-masing, tampil sebagai pemimpin yang memberi inspirasi serta bertindak sebagai pemikir strategik yang menyumbang kepada hala tuju universiti seiring dengan kenaikan pangkat yang diberikan.

“Kecemerlangan organisasi bermula daripada penyampaian perkhidmatan berkualiti, di samping disiplin dan nilai integriti tinggi sebagai tunjang profesionalisme.
“Pegawai cemerlang bukan sahaja dinilai melalui prestasi kerja, tetapi juga sikap, etika, disiplin, keupayaan menerima arahan, dan pematuhan terhadap peraturan dan pekeliling perkhidmatan,” katanya.
Melalui penganjuran program tersebut, USM bukan sahaja meraikan pencapaian pegawai yang dinaikkan pangkat, malah memupuk kesedaran bahawa setiap pegawai memainkan peranan penting dalam memperkukuh reputasi universiti.

Ia termasuk menjaga jenama USM sebagai institusi berprestij yang mengutamakan tadbir urus baik, kecemerlangan, dan kecekapan organisasi melalui inovasi dan pendigitalan.
Teks: Nurul Izzati Rozali, Pusat Transformasi Insan USM/ Foto: Pusat Transformasi Insan USM
- Created on .
- Hits: 432