USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PP SENI USM TERUS MENYERLAH DENGAN RINTIS’26

USM PULAU PINANG, 13 Januari 2026 – Rintis’26, pameran kreatif tahunan pelajar Pusat Pengajian Seni (SOTA) Universiti Sains Malaysia (USM), sekali lagi menegaskan komitmen universiti dalam melahirkan graduan berkualiti dan memenuhi keperluan industri.

Pameran yang mengetengahkan hasil karya pelajar tahun akhir bagi sidang akademik 2025/2026 ini bermula hari ini dengan majlis perasmian.

Rintis’26 berperanan sebagai platform pengkhususan bagi pelajar tahun akhir, merangkumi tiga bidang utama iaitu Rekabentuk Produk (Product Design), Komunikasi Grafik (Graphic Communication), serta Rekabentuk dan Teknologi Media Baharu (New Media Design & Technology).

Penasihat Rintis’26, Ts. Dr. Nurul Hanim dalam ucapannya sewaktu majlis perasmian, menerangkan identiti visual yang telah ditetapkan pada tahun ini umumnya diinspirasikan dari pelbagai simbol dalam matematik.

“Tanda ‘tambah’ (+) bagi Komunikasi Grafik menunjukkan penambahan nilai dan makna; tanda ‘darab’ (x) bagi pendekatan rentas disiplin dalam Media Baharu, dan tanda ‘bersamaan’ (=) adalah untuk menekankan keseimbangan bentuk dan fungsi dalam Rekabentuk Produk,” kata Nurul.

Menurutnya lagi, pameran ini merupakan hasil usaha 112 pelajar tahun akhir SOTA yang telah membuat persediaan rapi untuk menyertai industri, seperti yang terserlah melalui dedikasi dan komitmen mereka dalam menghasilkan karya masing-masing.

Sementara itu, Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian apabila merasmikan Rintis’26 berkata, beliau mengakui bahawa program sebegini memerlukan penyelidikan dan kegigihan yang pastinya juga memakan masa.

"Apa yang kita saksikan hari ini bukan sekadar sebuah pameran, tetapi sebuah platform di mana kajian berpadu dengan kreativiti. Hasil karya pelajar Rintis’26 bukan sahaja mantap dari segi akademik, malah memberi impak nyata terhadap dunia sebenar.

“Suara anda, idea anda, dan projek anda, kesemuanya bermakna,” beliau mengakhiri ucapannya.

Dekan SOTA, Profesor Madya Dr. Muhizam Mustafa kemudiannya menyampaikan cenderamata penghargaan kepada kesemua penaja yang telah membantu dalam memastikan kejayaan program ini.

Dengan cogankata kreatif ‘Forge, Refine, Reveal’ (Hasilkan, Perhaluskan, Persembahkan), program ini berjaya menyerlahkan kreativiti melalui pendekatan yang membezakan setiap jabatan.

Kepelbagaian jabatan ini memberikan matlamat khusus kepada para pelajar: Komunikasi Grafik menzahirkan idea secara visual melalui sintesis rekabentuk berasaskan kajian yang menggabungkan ‘bahasa’ visual dengan rekabentuk bermakna; Media Baharu pula mengintegrasikan teknologi dan elemen interaktif merentas pelbagai platform; manakala Rekabentuk Produk menekankan penyempurnaan bentuk dan fungsi ke arah penghasilan akhir yang harmonis.

Rintis’26 bukan sahaja menampilkan usaha para pelajar, tetapi turut mencerminkan dedikasi pensyarah yang telah meluangkan masa dan tenaga dalam membimbing pelajar tahun akhir SOTA untuk menghasilkan projek serta karya berkonsepkan ‘luar dari kotak’ dengan kualiti tinggi.

Teks asal: Sara Hannah Sahan Shah, House of Media (HOMe)/ Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/ Foto: Chin Pui Kong & Etasha Elana Kumar, House of Media (HOMe)

  • Created on .
  • Hits: 64

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025