USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERAJUI KEPIMPINAN PENDIDIKAN LESTARI (ETFL) MELALUI E.T.H.I.C.S@SMOA, RAIH PENGIKTIRAFAN GLOBAL ESG LIMA BINTANG

KUALA LUMPUR, 8 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai Universiti APEX dan peneraju kelestarian global apabila inisiatif kepimpinan pendidikan berteras penyelidikan, Environmental Transformational Leadership (ETFL), yang dilaksanakan melalui Program E.T.H.I.C.S@SMOA (Environmental Transformational Leadership Inspiring Character and Sustainability), menerima pengiktirafan antarabangsa berprestij.

WhatsApp Image 2026 02 03 at 2.29.22 PM

USM telah dianugerahkan Malaysia Global Sustainability Award 2025 – Elite Award dan Five-Star Recognition – ESG Learning Centre 2025.

WhatsApp Image 2026 02 03 at 2.29.25 PM

ETFL merupakan satu kerangka kepimpinan pendidikan yang diasaskan oleh Profesor Madya Dr. Aziah Ismail, pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.

 WhatsApp Image 2026 02 03 at 2.29.27 PM

Kerangka ini berasaskan penyelidikan akademik yang menekankan aspek kepimpinan ETFL, pembentukan karakter, dan pembudayaan amalan lestari.

Kerangka ini kemudiannya diterjemahkan secara sistematik melalui pelaksanaan Program E.T.H.I.C.S@SMOA di peringkat sekolah, sekaligus membuktikan keupayaan universiti menterjemahkan ilmu kepada tindakan berimpak tinggi.

Pelaksanaan program ini turut melibatkan kolaboratif bersama-sama pelajar seliaan beliau, Ainisaadah Mohd Saod, pelajar Doktor Falsafah (PhD) PPIP USM yang kini bertugas di Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

WhatsApp Image 2026 02 03 at 2.29.24 PM

Pengiktirafan ini dianjurkan oleh Sustainable Business Network Association Malaysia (SustNET) dan diiktiraf sebagai satu inisiatif kepimpinan pendidikan yang berjaya mengintegrasikan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke dalam amalan pendidikan sekolah secara holistik dan berterusan.

Menurut Aziah, keunikan E.T.H.I.C.S@SMOA terletak pada pengintegrasian ETFL secara langsung dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), dan Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-Based Learning, PBL).

Pendekatan ini memastikan nilai kelestarian, pembentukan karakter, dan kepimpinan beretika tidak bersifat tambahan, sebaliknya disepadukan secara autentik dalam kurikulum, pedagogi, dan pentaksiran.

Melalui PBL, isu kelestarian alam sekitar dijadikan konteks pembelajaran merentas matapelajaran, manakala PBD digunakan bagi menilai perkembangan murid secara berterusan, holistik, dan bermakna selari dengan aspirasi DSKP.

Program ini turut melibatkan Sekolah Murid Orang Asli (SMOA).

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Ahmad, menyifatkan kejayaan ini sebagai manifestasi kekuatan ekosistem akademik PPIP USM dalam melahirkan penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.

Menurutnya, sebagai Universiti APEX, USM sentiasa menggalakkan pemikiran inovatif dan penyelidikan yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian masa hadapan.

Sementara itu, Ts. Dr. Norsaidatul Akmar Mazelan, selaku Pengerusi Pengasas SustNET, menyifatkan E.T.H.I.C.S@SMOA sebagai contoh unggul sinergi antara akademia dan amalan pendidikan.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif sebegini membuktikan kepimpinan pendidikan mempunyai peranan besar dalam membentuk generasi yang berkarakter, beretika, dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Secara keseluruhan, pengiktirafan global terhadap ETFL melalui pelaksanaan Program E.T.H.I.C.S@SMOA bukan sahaja memperkukuh kedudukan USM sebagai Universiti APEX berimpak dunia, malah menegaskan peranan universiti penyelidikan sebagai pemangkin transformasi pendidikan lestari berasaskan ilmu, kepimpinan, dan nilai.

Teks asal & Foto: Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM/ Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 78

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025