SAMBUT ULANG TAHUN KE-30 – PPAG USM PERKUKUH PERANAN MALAYSIA DALAM WARISAN GLOBAL DAN DIPLOMASI BUDAYA

USM PULAU PINANG, 3 Februari 2026 – Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-30 hari ini, menandakan tiga dekad sumbangan berterusan dalam penyelidikan, pembangunan kapasiti serta kerjasama antarabangsa dalam bidang arkeologi dan warisan budaya.
Sepanjang tempoh tersebut, PPAG memainkan peranan penting dalam memperkukuh asas pengetahuan arkeologi negara menerusi pendekatan penyelidikan multidisiplin, pengurusan warisan yang beretika dan mampan serta kerjasama rentas institusi.

PPAG juga berkembang sebagai antara institusi penyelidikan arkeologi terkemuka di rantau ini, sejajar dengan keutamaan pembangunan negara di samping menyumbang kepada wacana ilmu di peringkat global.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pencapaian tiga dekad itu mencerminkan kematangan PPAG sebagai institusi penyelidikan yang dibina berteraskan disiplin akademik, integriti penyelidikan, dan sokongan berterusan universiti.
Beliau berkata, PPAG bukan sahaja melaksanakan ekskavasi lapangan, malah menerajui pendekatan saintifik bersepadu yang merangkumi analisis makmal, kajian bahan, dokumentasi sistematik, dan integrasi sains terapan bagi memastikan setiap dapatan disokong data yang sahih.

“Antara pencapaian penyelidikan terkini termasuk penemuan baharu di Tapak Arkeologi Bukit Choras, ekskavasi di Kompleks Arkeologi Sungai Batu melalui kolaborasi bersama Jabatan Warisan Negara, penyelidikan berterusan di Guar Kepah serta pelaksanaan Kajian Impak Warisan di Lembah Lenggong yang menzahirkan pendekatan seimbang antara penyelidikan, pemuliharaan, dan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu turut disokong pembangunan infrastruktur dan kemudahan makmal berteknologi tinggi yang dirancang secara berperingkat sebagai pelaburan jangka panjang universiti dalam memperkukuh keupayaan analisis saintifik mengikut piawaian antarabangsa.

“Kemudahan berkenaan membolehkan analisis terperinci ke atas artifak, bahan binaan dan sedimen, selain menyokong penyelidikan dalaman universiti serta menyediakan khidmat kepakaran kepada agensi kerajaan, sektor swasta, dan institusi pengajian tinggi,” tambahnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga PPAG atas pencapaian 30 tahun kecemerlangan dan menyatakan komitmen universiti untuk terus menjadikan pusat itu sebagai jambatan antara penyelidikan, dasar kerajaan dan masyarakat, selain memperkukuh peranan warisan sebagai komponen strategik dalam pembangunan serta diplomasi negara.
Dalam pada itu, sepanjang penubuhannya, PPAG telah membina jaringan kolaborasi strategik di peringkat nasional dan antarabangsa melalui penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, latihan profesional serta penerbitan ilmiah yang memastikan penyelidikan arkeologi kekal relevan, inklusif dan berimpak tinggi.
Majlis sambutan yang menghimpunkan kepimpinan tertinggi universiti, wakil agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan menjadi platform untuk mengimbau sejarah serta pencapaian PPAG, selain menggariskan hala tuju strategik pusat berkenaan.

Antara yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Koridor Utara, Dato’ Mohamad Harris Kader Sultan; Pengasas dan Mantan Pengarah PPAG, Profesor Emerita Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Abdul Majid; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Menjalankan Fungsi Pengarah PPAG, Profesor Madya Dr. Nasha Rodziadi Khaw; dan tetamu-tetamu kenamaan lain.
PPAG berperanan sebagai rakan strategik utama kepada pemegang taruh dalam penyelidikan arkeologi dan pengurusan warisan, sekali gus menyokong perancangan pembangunan, strategi pemuliharaan serta pelaksanaan penilaian impak warisan di Malaysia.
Pendekatan integrasi pelbagai disiplin yang dilaksanakan memastikan setiap tafsiran berasaskan metodologi yang sahih dan menyokong tadbir urus warisan yang lestari. Warisan turut dilihat sebagai aset strategik yang menyumbang kepada pendidikan, perpaduan sosial dan pembangunan setempat.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 281