PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN PERKUKUH KEFAHAMAN BUDAYA, SEJARAH DAN KELESTARIAN GLOBAL

PULAU PINANG, 2 Februari 2026 - Pembelajaran berasaskan pengalaman menjadi satu memori bermakna buat pelajar University of Tasmania (UTAS) apabila mereka diberi peluang istimewa melawat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar serta menelusuri sejarah arkeologi dan geologi di Lenggong, Perak, baru-baru ini.
Program lawatan akademik itu memberi pendedahan menyeluruh merangkumi warisan diraja, sejarah awal tamadun manusia serta kepentingan pemuliharaan khazanah alam dan budaya sebagai sebahagian daripada pembelajaran lapangan bertaraf global.

Di Istana Iskandariah, pelajar dibawa melawat kawasan istana dan diberikan taklimat berkaitan sejarah serta peranan Kesultanan Melayu Perak dalam memelihara adat, tradisi dan institusi beraja. Lawatan itu turut diserikan dengan hidangan makanan tradisi Melayu di Bilik Santapan Istana Iskandariah, sekali gus memperkenalkan warisan gastronomi sebagai elemen penting identiti budaya tempatan.

Sementara itu, di Lenggong, pelajar UTAS didedahkan kepada aspek arkeologi dan geologi menerusi lawatan ke tapak-tapak penting yang membuktikan kewujudan awal manusia serta perubahan landskap bumi sejak ribuan tahun lalu. Tapak arkeologi Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu merupakan hasil penyelidikan berterusan oleh Mantan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Emerita Datin Paduka Dr. Zuraina Abdul Majid, yang menyumbang secara signifikan kepada penemuan dan pemahaman sejarah prasejarah di Malaysia serta Asia Tenggara.
Pendedahan berkenaan membantu pelajar memahami hubungan antara faktor geologi, persekitaran semula jadi dan perkembangan tamadun manusia, selain menekankan kepentingan pemuliharaan tapak warisan sebagai sumber ilmu dan pembelajaran global.

Program berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan lapangan; SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) melalui pemeliharaan warisan budaya, arkeologi dan geologi; serta SDG 17 (Perkongsian untuk Mencapai Matlamat) menerusi kolaborasi antara institusi pendidikan dan pihak berkepentingan.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih turut dizahirkan kepada Meor Hezbullah Meor Abd Malik, Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja Perak, Toh Indera Jaya; Dato’ Ishak Haji Mohamed serta semua pihak yang terlibat atas kesudian menerima kunjungan dan menjayakan program berkenaan.
Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM
- Created on .
- Hits: 178