USM ANJUR MICROCASA INTERNATIONAL CONFERENCE 2026, PERKUKUH AGENDA MIKRO-KREDENSIAL SERANTAU
USM PULAU PINANG, 3 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan MICROCASA International Conference 2026 bertemakan “Shaping the Future of Learning: Microcredentialing for Sustainable Skills and Employability in Southeast Asia” bermula 3 - 4 Februari 2026 yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti, kampus induk USM.

Persidangan antarabangsa selama dua hari tersebut menghimpunkan ahli-ahli akademik dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik industri, dan rakan strategik dari Asia Tenggara dan Eropah bagi membincangkan peranan mikro-kredensial dalam memperkasa kemahiran lestari dan kebolehpasaran graduan dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, USM, yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, dalam ucapannya berkata, USM sentiasa memberikan komitmen berterusan dalam memperluas akses pendidikan melalui pendekatan pembelajaran fleksibel dan inovatif, sejajar dengan keperluan semasa industri dan masyarakat.

Menurut beliau, penganjuran persidangan ini amat signifikan kerana bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-55 Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) USM, yang mencerminkan sejarah panjang USM dalam menerajui pendidikan jarak jauh dan pembelajaran sepanjang hayat.
Persidangan tersebut turut menampilkan video khas ucapan perasmian oleh Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Rafael Daerr, yang menyatakan sokongan Kesatuan Eropah terhadap pembangunan ekosistem mikro-kredensial yang diyakini dan diiktiraf merentas sempadan, selari dengan kerjasama antarabangsa dalam pendidikan tinggi.

Sepanjang persidangan, para peserta akan mengikuti lima sesi ucaptama, sesi panel dasar serantau serta perbincangan mengenai tadbir urus, pengiktirafan, rangka perundangan, dan kelestarian mikro-kredensial.
Antara tokoh akademik antarabangsa yang terlibat termasuk wakil dari Jerman, Sepanyol, Itali, dan Malaysia.

MICROCASA International Conference 2026 merupakan sebahagian daripada inisiatif projek MICROCASA yang dibiayai bersama oleh Program Erasmus+ Kesatuan Eropah, bertujuan memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan tinggi Eropah dan Asia Tenggara dalam bidang mikro-kredensial, pembelajaran sepanjang hayat, dan kebolehpasaran graduan.
Penganjuran persidangan tersebut diharap dapat menjadi platform strategik untuk pertukaran ilmu, perkongsian amalan terbaik serta pembentukan jaringan kerjasama baharu ke arah pembangunan ekosistem mikro-kredensial yang mampan, diyakini, dan relevan di peringkat serantau.

Turut hadir ke majlis ialah Koordinator Konsortium MICROCASA, Profesor Dr. Armin Weinberger; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM mewakili Dekan PPPJJ USM, Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor; dan Pengerusi MICROCASA International Conference 2026, Dr. Radziah Adam.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/ Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 280