USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NRIC BERKUALITI: TIGA PRODUK EMAS CEMERLANG DI LONDON

291013-4

PULAU PINANG, 29 Okt. 2013  - Tiga produk terbaik Novel Research & Innovation Competition (NRIC) terbukti cemerlang apabila turut meraih tiga emas dan satu anugerah khas dalam pertandingan peringkat antarabangsa British Invention Show (BIS) yang berlangsung di London baru-baru ini.

Produk emas tersebut merangkumi Moringa Oleifera Seeds (M.O.S) Natural Biodegradable Coagulant, tumbuhan yang kebiasaannya digunakan dalam masakan (buah remunggai) yang dikaji berkesan sebagai bahan untuk merawat air tercemar.

Produk tersebut dihasilkan oleh dua penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Meor Muhammad Hafiz Shah Budin dan Muhammad Razif Abd. Razak di bawah bimbingan penyelia, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad.

Produk tersebut yang turut berupaya merawat air sisa sehingga selamat digunakan untuk kegunaan seharian turut meraih anugerah khas Diamond Award.

DSC 0405

Selain itu, dua lagi pingat emas diraih oleh penyelidik muda dari Pusat Pengajian Sains Komputer, Ng Poh Sing melalui hasil kajiannya, The Eyes: Car Security System dan Syuhairah Ahmad (Pusat Pengajian Teknologi Industri) dengan inovasinya iaitu Oil Palm Syrup in Production of Toffee.

Kedua-dua produk dibimbing oleh penyelia masing-masing iaitu Mohd Azam Osman dan Profesor Madya Fazilah Arifin.

The Eyes: Car Security System bertindak sebagai sistem keselamatan yang berupaya memaklumkan kepada pemandu/pemilik kenderaan jika berlakunya perlanggaran dan cubaan mencuri kenderaan melalui sistem pesanan ringkas (SMS/MMS) di telefon mengikut masa sebenar.

DSC 0394

Oil Palm Syrup in Production of Toffee pula adalah inovasi berkonsepkan dari bahan buangan ke emas, menggunakan sisa batang kelapa sawit, diekstrak menjadi sirap yang boleh ditambahbaik dan digunakan sebagai bahan pemanis dalam pembuatan gula-gula (toffee).

Menurut Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, kemampuan penyelidik muda USM memungut emas secara keseluruhan membuktikan prestasi penyelidikan mereka amat cemerlang, seiring pencapaian para penyelidik berpengalaman.

``Kita telah menyertai BIS sejak tahun 2009 dan daripada 17 produk yang dihantar, kesemuanya meraih pingat emas dan pelbagai anugerah khas. Kecemerlangan ini amat membanggakan Universiti,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sidang media BIS 2013 di sini hari ini, dengan disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Adnan Hussein.

Adnan pula berkata, kejayaan tersebut juga turut membuktikan penganjuran NRIC yang dirintis oleh siswa-siswi USM telah mencapai satu mutu dan kualiti yang tinggi, setanding dengan hasrat Universiti untuk memacu kecemerlangan penyelidikan.

Katanya, pertandingan NRIC telah membuka minda para pelajar untuk cemerlang bukan hanya dalam akademik, malah turut menghasilkan inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh komuniti secara keseluruhan.

``USM memilih kelompok tiga teratas yang cemerlang di NRIC untuk bertanding di London dan hasilnya mereka juga cemerlang dengan membawa pulang pingat emas.

``Kita akan meneruskan tradisi kecemerlangan ini pada masa depan dan berharap para pelajar akan lebih dinamik dalam menghasilkan lebih banyak penyelidikan khususnya yang berasaskan teknologi hijau dan sebagainya,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 2665

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024