USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

M-RSPD: INOVASI PEDAGOGI DIGITAL KE ARAH MASA DEPAN KESEJAHTERAAN EMOSI

USM PULAU PINANG, 26 Januari 2026 – M-RSPD, hasil kajian yang meraih Pingat Emas Innozilla 2025, telah dipersembahkan kepada umum dengan penjelasan mengenai pengaplikasiannya semasa Pameran Majlis Perutusan Naib Canselor 2026 di Universiti Sains Malaysia (USM).

Aplikasi inovatif ini telah dihasilkan di bawah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM oleh Profesor Madya Dr. Nor Shafrin Ahmad, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail, dan Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman.

M-RSPD adalah sebuah platform interaktif yang membolehkan para penggunanya menilai secara kendiri tahap kekuatan atau keamatan sesuatu krisis dan mengenalpasti simtom-simtom fizikal, emosi, kognitif, dan perlakuan.

Dengan objektif di atas, ia mempertingkatkan sokongan psikologi awal melalui teknologi interaktif yang mesra pengguna.

Dengan menggunakan model RSPD ini yang bermaksud ‘Rapport (hubungan baik), Assessment (penilaian), Support (sokongan) dan Coping (daya tindak)’, aplikasi ini membantu pengguna membangunkan daya tahan psikologi melalui sumber sokongan kendiri, termasuk dengan video-video santai beserta sesi interaktif, selain juga berperanan sebagai alat latihan bagi kaunselor pelatih dan para pendidik.

Nurul Amirah Mohd Shokri, selaku wakil M-RSPD di pameran tersebut, berkata bahawa tujuan dihasilkan aplikasi ini adalah kerana keperluan menguruskan emosi dan kesihatan mental.

“Apabila seorang individu melalui sesuatu krisis hidup, ramai yang tidak tahu kaedah menguruskan masalah sebegitu; M-RSPD bukan hanya dapat menyediakan akses kepada kaunselor tanpa perlu dikenali atau awanama pada bila-bila masa tetapi juga dapat menilai tahap krisis yang dialami oleh individu tersebut,” tambah Amirah.

Umumnya, M-RSPD mempamerkan kesepaduan harmoni yang menghubungkan teknologi dan emosi yang disertai inovasi USM yang menjangkau sempadan.

  • Created on .
  • Hits: 136

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025