USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INTELEKTUAL DAN PENTADBIR PERLU TERJEMAH TINDAKAN BERIMPAK - MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

FB IMG 1769687800992

USM PULAU PINANG, 29 Januari 2026 – Golongan intelektual dan barisan pentadbir muda di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memikul amanah besar bukan sahaja untuk memahami dasar serta aspirasi negara, malah menterjemahkannya kepada tindakan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, peranan itu menuntut komitmen berterusan dalam memastikan pemahaman terhadap dasar negara diterjemahkan secara praktikal dan berkesan di peringkat pelaksanaan.

Beliau berkata demikian ketika hadir meraikan para peserta Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI 2026 Zon Utara yang julung kalinya diadakan di sini semalam.

FB IMG 1769689277433

Tambah beliau, pembangunan bakat kepimpinan muda berteraskan gagasan Brain of the Nation terus menjadi teras keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha melahirkan generasi akademik dan pentadbir masa hadapan yang cemerlang.

“Generasi yang kita harapkan bukan sahaja cemerlang dari sudut intelektual, tetapi juga memiliki nilai dan adab yang mengangkat martabat ilmu. Ia selari dengan falsafah pelan pendidikan tinggi negara untuk membina insan yang seimbang,” katanya.

FB IMG 1769689516767

Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Harshita Aini Haroon; serta Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Zambry dalam pada itu turut menyeru kepimpinan muda IPT agar berani mencabar kerangka pemikiran tradisional, bersikap lebih anjal dan adaptif, serta sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan.

IMG 20260129 WA0130

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan, berdaya saing dan kompetitif di peringkat global.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, program ini dapat dijadikan platform untuk para peserta memperoleh pendedahan, pemikiran strategik dan nilai kepimpinan yang kukuh.

Beliau berkata, ia turut menjadi medan untuk para pentadbir muda memikul peranan lebih besar dalam memacu transformasi pendidikan tinggi negara.

“Program ini amat signifikan sebagai platform pembangunan kepimpinan asas dalam kalangan pensyarah dan pentadbir muda IPT, sekali gus memperkukuh jaringan strategik antara kepimpinan muda institusi pendidikan tinggi dengan YB Menteri Pendidikan Tinggi,” katanya.

Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI yang disertai lebih 300 peserta itu digerakkan secara kolaboratif bersama AKEPT serta disokong oleh rakan strategik daripada IPT di Zon Utara termasuk Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, kampus UiTM cawangan, politeknik dan kolej komuniti.

Siri kembara berkenaan akan diteruskan ke Zon Timur, Zon Tengah, Zon Selatan, serta Sabah dan Sarawak sebelum mencapai kemuncaknya menerusi Konvensyen KARISMA yang dijadualkan berlangsung penghujung tahun ini.

Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 260

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025