MENERAJU KECEMERLANGAN, MENCORAK IMPAK GLOBAL: PERUTUSAN NAIB CANSELOR USM 2026
PULAU PINANG, 26 Januari 2026 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed telah berkongsi pandangan beliau di dalam ucapannya sewaktu program ‘Majlis Perutusan Naib Canselor 2026’, Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) baru-baru ini.
Perutusan tersebut telah menggariskan komitmen USM terhadap kecemerlangan dan impak global yang diselaraskan dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Di dalam perutusannya, Naib Canselor telah menyentuh tentang Kecerdasan Buatan (AI) sebagai sesuatu yang tidak wajar dihindari, tetapi dijadikan sebagai satu bahagian yang perlu diintegrasikan ke dalam pengajaran dan pembelajaran setiap program akademik, selaras dengan mandat dari Menteri Pendidikan Tinggi, yang telah menetapkan AI sebagai Pemboleh Daya Utama (Core Enabler) di dalam kurikulum, penyelidikan, tadbir urus dan pembangunan bakat kebangsaan.
“Pada tahun 2025, USM telah berjaya mengintegrasikan AI ke dalam 69 dari 84 program akademik (82%), dan berhasrat untuk mencapai usaha mengintegrasi AI 100% ke dalam semua program akademik menjelang 2026,” kata Abdul Rahman.
USM juga dijangka akan berada di barisan hadapan dalam penggunaan teknologi dan AI bagi pembelajaran fleksibel, yang selaras dengan tumpuan yang diberi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi berkaitan transformasi digital dalam pendidikan tinggi, di mana USM juga akan menawarkan program akademik ‘stackable’ dalam Kecerdasan Buatan (AI) dan Pengurusan Dipacu AI dalam tahun 2026.
Perutusan ini juga memberi tumpuan kepada tujuh bidang fokus utama bagi pendidikan tinggi di Malaysia, sebagaimana yang telah ditekankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Tujuh bidang utama tersebut termasuk pembangunan bakat yang diketengahkan melalui pelbagai pencapaian, seperti program kepimpinan iFuture@USM 2025, pengiktirafan antarabangsa dalam sukan, termasuk pingat emas dan gangsa dalam Sukan Universiti ASEAN dan pingat emas dalam Sukan SEA 2025 di Thailand.
“Kesemua pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan. Kesemuanya adalah hasil dari ekosistem pembangunan bakat yang komprehensif yang menekankan disiplin, daya tahan mental, kepimpinan pasukan dan keupayaan bersaing di peringkat global, dalam usaha menghasilkan pelajar yang seimbang dari segi intelek, perwatakan dan pencapaian,” tambah Abdul Rahman.
Perutusan ini juga memberi tumpuan kepada satu lagi perkara iaitu, pengiktirafan sokongan kerajaan sejumlah RM599 juta kepada USM melalui ‘First Rolling Plan (RP1)’ di bawah Rancangan Malaysia ke-13, yang akan digunakan secara strategik di dalam pelbagai projek.
“Kesemua projek utama ini meliputi pembangunan baharu, usaha peningkatan dan perolehan kelengkapan. Pelbagai inisiatif ini akan dipastikan dapat memberi impak secara terus terhadap pembelajaran, penyelidikan dan kesejahteraan komuniti kampus,” ujar Abdul Rahman.
Intipati perutusan ini terkandung di dalam tema ‘Meneraju Kemerlangan, Mencorak Impak Global’ (Leading Excellence, Shaping Global Impact) yang mencerminkan dedikasi USM terhadap status APEX secara holistik dan di peringkat antarabangsa.
“Ianya lebih dari sekadar ungkapan, ia adalah satu penegasan tanggungjawab yang memberi makna bahawa kecemerlangan bukan sekadar hal dalaman, tetapi perlu juga diterjemahkan menjadi tindakan yang akan menghasilkan impak, menyelesaikan masalah dan membina nilai dalam persekitaran masyarakat dan di pentas dunia,” jelas Abdul Rahman.
Di akhirnya, visi ini berperanan sebagai seruan secara kolektif agar warga USM dapat terus berusaha ke arah mencapai sepenuh potensi bertaraf dunia.
Teks: Sara Hannah Sahan Shah, House of Media (HOMe@MPRC) / Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 202