MATRA DISARAN SUMBANG INPUT KEPADA KPM
PULAU PINANG, 29 Oktober 2013 – Kertas kerja dan cadangan yang signifikan terhadap polisi serta dasar kerajaan yang dibentangkan dalam Persidangan Kebangsaan Masyarakat, Ruang dan Alam Sekitar (MATRA 2013) disaran untuk dikemukakan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi KPM, Profesor Dato’ Morshidi Sirat berkata, persidangan seumpama itu yang jarang dianjurkan perlu diberi lebih ruang untuk membantu dalam proses pembangunan negara dan cadangan yang dikemukan harus diteliti dan dikaji sebaik mungkin untuk membolehkan pihak kerajaan mendapat input dari sektor pendidikan negara.
Katanya, beliau turut berharap supaya para peserta mengetengahkan mekanisme yang praktikal dan realistik untuk memperkasakan kelestarian dalam memperkasakan kelestarian. Menurut beliau, pembangunan kelestarian di Malaysia dapat ditingkatkan jika semua pihak sedar tentang kepentingannya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan MATRA 2013 yang telah diadakan di sini dengan tujuan untuk menyediakan ruang kepada penyelidik dari pelbagai bidang untuk berkongsi dan bertukar pandangan bertepatan dengan tema persidangan ‘Geografi untuk Kelestarian Masyarakat, Ruang dan Alam Sekitar.
Persidangan ini adalah kali keempat dan dianjurkan bersama Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Persatuan Kebangsaan Geografi Malaysia (PKGM).
Turut hadir sempena majlis perasmian ialah Timbalan Naib Canselor (Penyeldikan dan Inovasi) yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Muhamad Jantan dan Presiden PKPG, Profesor Madya Dr, Norizan Md Nor yang juga pensyarah PPIK dan Pengerusi Jawatankuasa MATRA 2013, Dr. Zullyadini A. Rahman.
Muhamad Jantan berkata, persidangan seperti ini adalah sejajar dengan aspirasi USM sebagai Universiti APEX yang menjadikan kelestarian sebagai teras utama dalam strategi memacu kecemerlangan universiti.
“Saya berharap persidangan ini dapat menigkatkan rangkaian kerjasama antara penyelidik di dalam pelbagai bidang khususnya Geografi. Saya juga yakin selepas ini tahap penyelidikan tentang kelestarian Masyarakat, Ruang dan Alam Sekitar akan meningkat,” tambah Muhamad.
Seramai lebih kurang 80 orang peserta terdiri daripada pensyarah dan pelajar institut pengajian tinggi mengambil bahagian di dalam persidangan dua hari itu. Teks: Nor Rafizah Md Zain & Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1162