USM LIBATKAN PELAJAR MRSM TRANSKRIAN MELALUI SULAM BAGI PEMINDAHAN ILMU TEKNOLOGI POLIMER DAN GETAH

NIBONG TEBAL, 21 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) pada 15 Januari lalu, terus memperkukuh komitmennya terhadap penglibatan komuniti dan pendidikan lestari menerusi pelaksanaan program Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) yang melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Program tersebut diketuai oleh Ts. Dr. Muhamad Sharan Musa dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral dengan sokongan tiga orang fasilitator pelajar prasiswazah daripada program Kejuruteraan Polimer.

Pelaksanaan SULAM ini memfokuskan kepada pemindahan ilmu dalam bidang teknologi polimer dan getah melalui pendekatan pembelajaran berstruktur serta aktiviti interaktif berasaskan pengalaman.
Antara pengisian program termasuk sesi pembelajaran berkonsepkan permainan yang bertujuan meningkatkan pemahaman pelajar terhadap proses pemprosesan dan pembuatan getah, aplikasi produk getah serta aspek kelestarian dalam industri polimer.
Bagi memberi pendedahan secara langsung, para fasilitator turut memanfaatkan kemudahan makmal dan bengkel bagi membolehkan peserta melihat sendiri aplikasi sebenar teknologi polimer dan getah.

Antara aktiviti yang diketengahkan ialah pengenalan kepada proses pembuatan getah, pemerhatian produk getah bercetak 3D, serta perbincangan berkaitan prinsip kelestarian seperti kecekapan penggunaan bahan dan amalan ekonomi kitaran.
Seramai 50 pelajar Tingkatan Lima bersama empat guru pengiring dari MRSM Transkrian telah menyertai program tersebut.
Penganjuran program tersebut bertujuan memperluas pemahaman pelajar terhadap teknologi pembuatan moden di samping menyemai minat dalam bidang kejuruteraan polimer, inovasi, dan pembangunan teknologi mampan.
Program tersebut turut menyokong aspirasi pendidikan STEM negara dan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti); SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur); dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Menerusi pelaksanaan program SULAM, USM terus memperkukuh jalinan kerjasama antara universiti dan institusi pendidikan sekolah, di samping menyemai minat generasi muda terhadap bidang kejuruteraan, sains, dan inovasi lestari.
Teks: Joeyean Loke Pui Man (Pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM)/ Foto: Nur Raihan Anuar & Zen Zefner Zef Zalman (Pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM)/ Suntingan: Siti Faizah Abd Halim
- Created on .
- Hits: 96