PROGRAM KEMBARA KARISMA PEMIMPIN MUDA MADANI ZON UTARA 2026 PLATFORM STRATEGIK PEMBANGUNAN BAKAT KEPIMPINAN MUDA IPT

USM PULAU PINANG, 28 Januari 2026 – YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah meluangkan masa hadir ke program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI (Zon Utara) Tahun 2026 yang diadakan di Panggung Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang petang ini.
Program anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) itu dilihat sebagai platform strategik libat urus, perkongsian, dan jaringan antara YB Menteri Pendidikan Tinggi dengan pensyarah dan pentadbir muda di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).


USM berbangga kerana diberi kepercayaan dan penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi program tersebut bagi Zon Utara, yang merupakan siri pertama bagi tahun ini.
Kembara Zon Utara tersebut menghimpunkan seramai hampir 400 peserta yang terdiri daripada pemimpin muda dari IPT-IPT yang berada di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang termasuklah USM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia (UUM), kampus kampus cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM), politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti.

Program tersebut merupakan inisiatif pembangunan kepimpinan asas bagi membangunkan bakat kepimpinan muda IPT secara berstruktur dan berteraskan nilai.

Pelaksanaan program tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan kefahaman kepimpinan serta peranan golongan muda dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Pengisian program merangkumi penyampaian Modul Kepimpinan 3H (Head, Heart, Hand) selain kupasan dokumen dasar utama negara, khususnya Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Program berkenaan turut menekankan peranan strategik pensyarah dan pentadbir muda dalam menterjemahkan dasar nasional kepada pelaksanaan berkesan di peringkat institusi pendidikan tinggi.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Harshita Aini Haroon; dan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Shanizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 260