USM DAN KOLEJ VITROX METERAI KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH BAKAT SEMIKONDUKTOR NEGARA

BATU KAWAN, PULAU PINANG, 28 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Kolej ViTrox dalam satu majlis rasmi yang menandakan pengukuhan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi awam dan industri berteknologi tinggi, khususnya dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Majlis pertukaran MoA yang berlangsung di Kampus Kolej ViTrox, Batu Kawan itu telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, serta dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah dan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Turut hadir ialah Presiden dan Pengarah Urusan ViTrox Corporation Berhad, Dato’ Chu Jenn Weng, serta Pengetua Kolej ViTrox, Dr. Janaka Low Chee Kong.

Program Francais USM di Persekitaran Industri Sebenar
Melalui MoA ini, Kolej ViTrox, yang merupakan anak syarikat kepada ViTrox Corporation Berhad, akan menawarkan dua program ijazah di bawah model kerjasama francais USM, iaitu:
- Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian; dan
- Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomputeran Cerdas) dengan Kepujian
Di bawah model ini, kurikulum akademik, kelulusan pelajar, penilaian serta penganugerahan ijazah akan ditadbir sepenuhnya oleh USM, manakala pelaksanaan pembelajaran dan latihan akan berlangsung dalam persekitaran industri sebenar di Kampus ViTrox, sekali gus membolehkan pelajar didedahkan secara berterusan kepada teknologi terkini, budaya kerja profesional, dan cabaran dunia sebenar industri.


Menangani Jurang Bakat dan Keperluan Industri
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa kerjasama ini merupakan satu inisiatif perintis di Malaysia yang mampu menangani isu ketidakpadanan antara latihan akademik dan keperluan industri.
“Kerjasama strategik antara USM dan Kolej ViTrox ini membuka lembaran baharu dalam pembangunan bakat negara. Ia membuktikan bahawa universiti awam dan industri boleh bekerjasama secara mendalam dan berstruktur untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kukuh dari segi akademik, malah benar-benar bersedia untuk memasuki industri berteknologi tinggi,” kata beliau.
Beliau turut menekankan keperluan mendesak negara terhadap tenaga mahir dalam sektor semikonduktor, dengan anggaran keperluan sekitar 50,000 jurutera, berbanding pengeluaran tahunan semasa yang jauh lebih rendah.

Komitmen USM terhadap Kualiti Akademik
Naib Canselor USM pula menyifatkan kerjasama ini sebagai manifestasi komitmen USM untuk memastikan pendidikan tinggi kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa dan masa hadapan negara.
“USM akan memastikan standard akademik tertinggi terus dipelihara. Semua keperluan kemasukan, kelulusan tenaga pengajar, dan penilaian akademik akan mematuhi piawaian ketat universiti. Kekuatan utama kerjasama ini ialah keupayaannya melahirkan graduan yang boleh beralih secara lancar daripada universiti ke alam pekerjaan,” kata beliau.

Model Pendidikan Berasaskan Kerja dan Impak Nasional
Kerjasama ini dijangka menyumbang lebih 1,500 tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi kepada pasaran pekerjaan dalam tempoh tujuh tahun akan datang, khususnya bagi menyokong ekosistem semikonduktor yang pesat berkembang di Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhan.
Sebagai sebuah institusi pendidikan berteraskan industri, Kolej ViTrox menerapkan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning) yang disokong oleh model Tiga Mentor; mentor akademik, mentor industri, dan mentor pembangunan diri bagi memastikan graduan bukan sahaja kompeten secara teknikal, malah berdaya tahan, beretika, dan bersedia menyumbang sejak hari pertama.
Menurut Presiden dan Pengarah Urusan ViTrox Corporation Berhad, kerjasama ini mempunyai makna istimewa memandangkan ViTrox sendiri diasaskan oleh alumni USM.
“MoA ini bukan sekadar pertukaran dokumen, tetapi satu komitmen bersama untuk membina masa depan negara melalui pendidikan. Dengan menggabungkan kecemerlangan akademik USM dan realiti industri ViTrox, kita sedang mereka bentuk semula DNA pendidikan tinggi Malaysia,” ujar beliau.

Menyokong Agenda Nasional Malaysia MADANI
Inisiatif ini sejajar sepenuhnya dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan pembangunan insan berkemahiran tinggi, ekonomi berteraskan inovasi serta penguasaan teknologi strategik seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan.
Kerjasama ini turut menyokong pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional, dengan memberi tumpuan kepada pembinaan rantaian bakat tempatan yang mampan dan berimpak tinggi.
Kerjasama strategik antara USM dan Kolej ViTrox ini membuktikan bahawa penyepaduan kukuh antara universiti awam dan industri berteknologi tinggi mampu melahirkan tenaga profesional yang bukan sahaja kompeten dan berdaya saing di peringkat global, malah bersedia menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara, pengukuhan ekosistem industri tempatan, dan kemakmuran Malaysia pada masa hadapan.
Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM
- Created on .
- Hits: 223