PESERTA UNIGO UTAS SERTAI PROGRAM KOMUNITI LARA DI KEPALA BATAS

USM PULAU PINANG, 27 Januari 2026 – Para peserta Program University Global Opportunity (UniGo) dari University of Tasmania (UTAS) menyertai program bersama komuniti Persatuan Residensi Limonia Lakeside (LARA), Kepala Batas bagi memberi pendedahan kepada pelajar antarabangsa terhadap aspek kelestarian, warisan budaya, dan kehidupan komuniti setempat.
Program dimulakan dengan sesi perkongsian dan aktiviti berkaitan kelestarian air yang dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Universiti Sains Malaysia (USM).

Menerusi sesi berkenaan, para peserta didedahkan kepada kepentingan pengurusan sumber air secara lestari serta peranan komuniti dalam memastikan kelangsungan sumber semula jadi, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi).

Para pelajar UTAS turut berpeluang mengalami sendiri aktiviti kebudayaan tempatan melalui demonstrasi cara tradisional memarut kelapa dan pembuatan kuih tradisional onde-onde bersama komuniti LARA. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan warisan makanan tempatan, malah menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman dan interaksi silang budaya.
Program turut dimuatkan dengan aktiviti mencanting batik, yang mana peserta UniGo diajar teknik asas penghasilan batik sebagai salah satu warisan seni tempatan Malaysia.


Aktiviti ini memberi pendedahan kepada kreativiti, kesenian, dan nilai ekonomi budaya yang menyokong kelestarian komuniti setempat, selari dengan SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan.
Selain itu, para pelajar UTAS turut didedahkan kepada cara membuat roti canai dan diakhiri dengan sesi membuat teh tarik.
USM merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, yang sudi hadir memeriahkan majlis tersebut.


Penghargaan turut ditujukan kepada Pengerusi LARA, Mohd Taufik Abdullah dan semua Jawatankuasa LARA yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Secara keseluruhannya, program berkenaan berjaya memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti, di samping memberi pengalaman pembelajaran holistik kepada pelajar antarabangsa merangkumi aspek kelestarian, budaya, dan warisan tempatan.
Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM
- Created on .
- Hits: 143