KERUSI RODA WHEELSAVER: INOVASI KURANGKAN KEBERGANTUNGAN KEPADA PENJAGA
JOHOR BAHRU, 22 Okt. 2013 – Inovasi kerusi roda dengan dilengkapi kawalan automatik ciptaan sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menjadikan urusan penjagaan pesakit berkerusi roda lebih mudah, sekaligus memberi lebih kebebasan kepada pesakit untuk bergerak.
Menurut ketua penyelidik, Dr. Zuraida Zainun dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, inovasi yang dihasilkannya membolehkan para pesakit khususnya angin ahmar menggerakkan kerusi roda dengan hanya menggunakan empat butang di tangan.
Katanya, pesakit atau penjaga tidak perlu lagi menolak kerusi roda secara manual, malah kawalan butang tersebut membolehkan pergerakan empat hala termasuk gerakan ke hadapan, belakang, kiri dan kanan.
``Idea ini diterjemah ke bentuk inovasi dengan mengambil kira statistik yang menunjukkan anggaran kira-kira 40,000 kes baru serangan angin ahmar berlaku setiap tahun di negara ini. Kebanyakan pesakit mengadu mengenai pelbagai kesulitan khususnya yang melibatkan pergerakan.
``Dengan adanya Wheelsaver, pesakit boleh melakukan pergerakan secara bersendirian dan dengan penggunaan tenaga yang minimum. Alat kawalan ini juga senang dipasang dan bersifat mudah alih,’’ katanya.
Tambahnya, alat kawalan yang turut boleh dipasang pada kerusi roda sedia ada itu berpotensi untuk dikomersialkan dengan kos anggaran serendah RM500 berbanding yang RM5000 untuk produk seumpamanya di pasaran.
Tambah beliau, alat tersebut juga berpotensi digunakan oleh para jemaah haji yang berkerusi roda bagi memudahkan mereka melaksanakan urusan ibadah di Tanah Suci.
Wheelsaver adalah antara lima produk USM yang dipertandingkan dalam BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen PERSADA, bermula 21 hingga 23 Oktober ini.
Selain Wheelsaver, turut dipertandingkan adalah tepung berfiber tinggi NutriMush Flour, minuman berkhasiat berasaskan labu (PumpCoola), produk konkrit dari sisa buangan abu sawit dan platform khusus bagi menentukan tahap keselamatan ubat khususnya herba (A Novel Drug-Drug and Drug-herb Interaction Prediction Platform). Teks:/Foto Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1630