USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERUTUSAN NAIB CANSELOR 2026: USM GARAP TRANSFORMASI BESAR 2026, AI DAN KELESTARIAN JADI TERAS IMPAK GLOBAL

619613175 1410381567795255 2088788012729433166 n

USM PULAU PINANG, 26 Januari 2026 — Universiti Sains Malaysia (USM) melangkah ke tahun 2026 dengan tekad memperkukuh peranannya sebagai universiti berasaskan impak apabila Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menggariskan hala tuju strategik universiti yang berani, progresif, dan berpaksikan masa depan dalam Perutusan Naib Canselor 2026 di Kampus Induk hari ini.

Berucap di hadapan kepimpinan universiti, warga akademik, staf, dan pelajar, beliau menegaskan bahawa universiti tidak lagi boleh sekadar berfungsi sebagai institusi tradisional penyampai ilmu, sebaliknya perlu menjadi pencipta nilai, penyelesai masalah, dan pemacu kesejahteraan masyarakat serta negara.

a31cf4c8 8601 4f1b bb0f d1bfb623cdde

“Tahun 2026 menuntut universiti untuk bergerak dengan lebih tepat, berani, dan bermakna. Di USM, kita tidak menunggu masa depan, kita menciptanya,” ujar beliau sambil memperkenalkan tema perutusan tahun ini, “Meneraju Kecemerlangan, Mencorak Impak Global.”

622824347 1410382151128530 9033135603993829046 n

USM dan Transformasi Pendidikan Tinggi Negara

Perutusan tersebut turut menegaskan komitmen USM terhadap Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

RPTM ini menjadi kerangka nasional bagi memastikan pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, berdaya saing, dan bersedia menghadapi masa depan.

Menurut beliau, hala tuju USM selari dengan aspirasi nasional, khususnya dalam memperkukuh keunggulan global, kelestarian, pendidikan fleksibel, dan pembangunan insan berteraskan kemanusiaan, selari dengan status USM sebagai satu-satunya universiti APEX negara.

622852711 1410382874461791 6037599522656749648 n

AI sebagai Nadi Transformasi Pendidikan

Antara pengumuman utama yang mencuri perhatian warga kampus pada petang ini ialah kejayaan USM mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam 82 peratus program akademiknya pada 2025, melibatkan 69 daripada 84 program.

USM menyasarkan 100 peratus integrasi AI menjelang 2026, selari dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memposisikan AI sebagai “core enabler” transformasi pendidikan tinggi.

Inisiatif ini merentas keseluruhan ekosistem universiti merangkumi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, tadbir urus serta pembangunan bakat negara, bagi memastikan graduan USM bersedia menghadapi cabaran pekerjaan masa depan yang berasaskan teknologi dan digital.

622872209 1410394411127304 3632542504436809969 n

Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Berimpak Tinggi

USM terus mengukuhkan kedudukan sebagai universiti penyelidikan terkemuka dengan pencapaian memberangsangkan sepanjang 2025. Dari sudut pembiayaan, USM menerima RM53 juta geran luar serta menyalurkan RM12 juta geran dalaman, manakala siling peruntukan penyelidikan universiti bagi 2025 dan 2026 dikekalkan pada RM37 juta bagi memastikan kelestarian ekosistem penyelidikan, sokongan pasca-kedoktoran dan pemindahan teknologi.

Bagi mempercepatkan impak, USM akan memperkukuh inisiatif Lab-to-Market, Entrepreneurial Postdoctoral Scheme, dan meningkatkan pembiayaan padanan (matching fund) kolaborasi strategik kepada 20 peratus pada 2026.

623164582 1410394547793957 2827135671811747817 n

Hab Kejuruteraan Berwibawa dan Pusat Rujukan Kanser

Kepimpinan dan sumbangan besar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Canselor USM selama 25 tahun terus dihargai apabila Kampus Kejuruteraan USM dimasyhurkan dengan nama baharunya, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, sebagai tanda penghormatan atas jasa dan komitmen baginda terhadap pembangunan universiti.

Dalam bidang kesihatan pula, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM telah diiktiraf sebagai Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser dan seterusnya dijenamakan semula sebagai Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus mengukuhkan peranan USM sebagai pusat rujukan kanser yang berwibawa di peringkat serantau.

619959072 1410393447794067 5655162693806460387 n

Kelestarian dan Kedudukan Global

USM terus mengukir kecemerlangan di peringkat antarabangsa apabila melonjak ke kedudukan ke-14 terbaik dunia dalam Times Higher Education Impact Rankings 2025. Tiga Matlamat Pembangunan Mampan SDG 1, SDG 16 dan SDG 17 turut diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

Pencapaian ini mengukuhkan reputasi USM sebagai peneraju kelestarian global, dengan komitmen untuk menterjemahkan pengiktirafan kepada tindakan translasional yang memberi manfaat nyata kepada komuniti.

619955197 1410391051127640 6252419017048780287 n

619664884 1410394984460580 4688858566100217302 n

Kewangan Kukuh dan Tadbir Urus Berintegriti

Dari sudut kewangan, USM mencatatkan lebihan (surplus) RM279 juta pada 2025, hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Bagi memastikan kemampanan jangka panjang, universiti akan mempelbagaikan sumber pendapatan melalui program pascasiswazah bernilai tinggi, endowmen, wakaf, komersialisasi penyelidikan, dan kerjasama industri.

Selain itu, USM mengumumkan pelaksanaan beberapa polisi baharu pada 2026, termasuk Polisi AI (Artificial Intelligence) dalam PdP (Pengajaran dan Pembelajaran), Polisi Pendidikan Inklusif, Polisi Pelepasan Karbon dan Dasar Kesaksamaan Gender, bagi memperkukuh tadbir urus berteraskan nilai global dan SDG.

623151067 1410392337794178 7766715462764565313 n

Mencorak Masa Depan Bersama

Mengakhiri perutusan, Naib Canselor menegaskan bahawa kejayaan USM tidak wajar diukur melalui ranking dan angka semata-mata, tetapi melalui impak sebenar terhadap kehidupan pelajar, kesejahteraan masyarakat, pembentukan dasar negara, dan sumbangan Malaysia di peringkat global.

Menurut beliau lagi, tahun 2026 menuntut universiti untuk tampil berani memimpin perubahan, berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan, dan menterjemahkan ilmu kepada penyelesaian yang bermakna.

“Tahun 2026 adalah medan untuk kita membuktikan bahawa kecemerlangan USM ialah kecemerlangan yang berprinsip, berani, dan berimpak. Inilah tanggungjawab kita bersama dalam mencorak masa depan universiti dan negara,” kata beliau.

Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM/ Foto: Mohd Fairus Md Isa

Features

  • Created on .
  • Hits: 169

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025