MEMPERLUAS PELUANG PENDIDIKAN INKLUSIF MELALUI PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT – CREDENTIA DAN MCCBS
USM PULAU PINANG, 23 Januari 2026 - Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 meletakkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai teras kepada sistem pendidikan tinggi yang inklusif, fleksibel, dan berorientasikan masa hadapan.
Pelan ini bertujuan membolehkan individu memanfaatkan pendidikan terbuka dan laluan pembelajaran fleksibel, dengan keupayaan menyesuaikan pembelajaran mengikut keperluan peribadi dan aspirasi kerjaya, serta mengakses kelayakan daripada pelbagai institusi atau penyedia yang berbeza.
Bagi menyokong hasrat ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan Academic Bank Credits (ABC) sebagai platform nasional bagi pengumpulan, penyimpanan, dan pemindahan kredit akademik, yang membolehkan mobiliti pembelajaran, pengiktirafan pembelajaran terdahulu dan laluan pendidikan yang lebih anjal.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, sejajar dengan hala tuju RPTM 2026–2035, USM telah mengambil langkah berstruktur dengan menubuhkan Credentia, iaitu Unit Pendidikan Fleksibel dan Pentauliahan, sebagai pelengkap kepada ekosistem micro-credential sedia ada serta mekanisme pentauliahan micro bagi pendidikan laluan fleksibel.
Katanya, Credentia berperanan menyelaras penganugerahan Malaysia Micro-credential Statement (MMS) bagi tujuan pemindahan kredit, serta menyokong pelaksanaan pembelajaran sepanjang hayat secara sistematik di peringkat universiti.
Penubuhan unit ini mencerminkan komitmen USM untuk menginstitusikan pendidikan fleksibel sebagai sebahagian daripada ekosistem nasional, dan bukan sekadar inisiatif terasing.
“Melalui Credentia, USM sedang membangunkan Micro-Credential Credit Bank System (MCCBS) sebagai sistem pentadbiran dan pengurusan kredit yang menyokong pengumpulan, penggabungan, dan pemindahan kredit micro-credential ke arah kelayakan yang lebih tinggi, termasuk stackable degrees.
“MCCBS direka selari dengan konsep Academic Bank Credits, bagi membolehkan penyepaduan dengan platform nasional pada masa hadapan. Pendekatan ini memastikan penyelarasan struktur, pentadbiran, dan dasar USM dengan agenda RPTM 2026–2035,” ujar beliau lanjut.
Secara keseluruhan, inisiatif Credentia dan MCCBS meletakkan USM sebagai rakan strategik kepada agenda nasional dalam memperluas akses pendidikan tinggi yang fleksibel dan inklusif.
Usaha ini melengkapkan inisiatif di peringkat kementerian dan membuka ruang kepada sinergi lanjut dengan pelbagai strategi dan usaha lain di bawah RPTM 2026–2035.
- Created on .
- Hits: 171