USM KOMITED MENERAJUI PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT YANG FLEKSIBEL
USM PULAU PINANG, 23 Januari 2026 - Peluang melanjutkan pengajian tinggi secara fleksibel kini terbuka luas apabila Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) mengumumkan pembukaan permohonan kemasukan ke Program Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) Fasa 1, bermula 21 Januari hingga 10 April 2026, sekali gus memberi ruang kepada lebih ramai individu untuk merealisasikan impian akademik tanpa mengabaikan komitmen kerjaya dan keluarga.
RPJJ USM menawarkan pelbagai kursus yang relevan dalam dunia pendidikan, termasuk:
- Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Matematik dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Sains Politik dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Antropologi dan Sosiologi dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam Ekonomi dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Sejarah dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Kewangan dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Pemasaran dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dalam Strategi dan Pengurusan Organisasi dengan Kepujian.
Menurut salah seorang Alumni RPJJ, Alloysius Anak Nain, sistem pembelajaran RPJJ USM yang fleksibel telah membolehkan para pelajar belajar tanpa perlu meninggalkan pekerjaan dan keluarga serta merealisasikan cita-cita dan impian untuk mendapat segulung ijazah.
“USM adalah sebuah institusi yang sangat dinamik maka kami, sebagai graduan, amat berbangga untuk bersama USM. Kami percaya bahawa dengan komitmen kakitangan dan bimbingan barisan pensyarah, USM telah menetapkan piawaian yang tinggi untuk diikuti oleh institusi pembelajaran terbuka dan jarak jauh yang lain, sekurang-kurangnya di rantau ini.
“Kami juga percaya bahawa mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh sesuai untuk orang dewasa yang bekerja dan USM memahami keperluan dan kekangan kami,” ujarnya lanjut.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) (Antropologi-Sosiologi) dan penerima Hadiah Pingat Emas USM.
Dengan model pembelajaran yang fleksibel serta kos pengajian yang sangat kompetitif, RPJJ adalah pilihan tepat untuk bakal pelajar yang mencari peluang menyambung pengajian sambil bekerja tetapi berhadapan dengan kekangan masa dan bebanan kewangan.
Walaupun pelajar belajar secara jarak jauh, pelajar tetap dipastikan membawa aspirasi USM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang menjuarai agenda kelestarian.
Justeru, teknologi terkini dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta pelbagai perkhidmatan sokongan menjadi teras untuk memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik.
Sebagai pelajar RPJJ USM, mereka berpeluang mengikuti pengalaman pembelajaran daripada salah satu universiti penyelidikan tersohor di Malaysia serta universiti yang mempelopori agenda kelestarian.
Rebutlah peluang keemasan ini bagi melanjutkan pengajian di Universiti terkemuka iaitu USM. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari https://pohon.usm.my, hubungi PPPJJ di talian 04-653 6197 dan email sebarang pertanyaan ke
Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM
- Created on .
- Hits: 230