USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA INSTITUSI UTAMA USM DIMASYHURKAN OLEH CANSELOR: KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN DAN PUSAT KANSER TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI

IMG 20260122 WA0098

ARAU, PERLIS, 22 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat sejarah dengan pemasyhuran serentak dua institusi utama oleh Canselor, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, menandakan era baharu kecemerlangan pendidikan tinggi dan perkhidmatan kesihatan berteknologi tinggi di Malaysia.

Kampus cawangan USM yang asalnya di Seri Iskandar, Perak, dan dikenali sebagai Kampus Cawangan Perak (KCP) pada tahun 1986, kembali ke Pulau Pinang pada tahun 2001 sebagai Kampus Kejuruteraan, kini secara rasmi dimasyhurkan sebagai Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM.

IMG 20260122 WA0130

Pemasyhuran ini memperlihatkan peranan kampus sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan, dan inovasi teknologi tinggi.

Terletak di Nibong Tebal, kampus seluas 146.65 hektar ini menempatkan lebih 4,453 pelajar dengan enam pusat pengajian kejuruteraan iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

IMG 20260122 WA0091

Kampus Kejuruteraan turut menempatkan tiga pusat penyelidikan berimpak tinggi iaitu Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) dan Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC). Sejak awal penubuhannya, kampus ini telah berjaya melahirkan seramai 23,575 orang alumni.

IMG 20260122 WA0093

Ia juga berperanan sebagai hab utama dalam pembangunan teknologi semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pembungkusan elektronik termaju serta pelbagai cabang kejuruteraan lain menerusi pelaksanaan inisiatif kerjasama strategik dengan rakan industri di peringkat global serta tempatan.

IMG 20260122 WA0126

Usaha ini turut disokong oleh pelaksanaan kurikulum khusus dalam bidang pemasangan, pengujian, penandaan, dan pembungkusan semikonduktor, yang merupakan antara yang terawal ditawarkan di institusi pengajian tinggi tempatan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang berimpak tinggi negara.

Pada majlis yang sama, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan memasyhurkan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM, yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) sejak 2002.

Pemasyhuran ini menghargai jasa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, dalam pembangunan pendidikan dan kesihatan negara.

IMG 20260122 WA0101

Sebagai Hospital Pengajar Universiti pertama dalam tujahan kanser di Malaysia, PKTAAB menawarkan rawatan berteknologi tinggi termasuk onkologi klinikal, radioterapi, brakiterapi, pembedahan, perubatan nuklear, dan rawatan paliatif.

Pusat ini juga diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan oleh BrachyAcademy, sebuah organisasi yang diasaskan di Belanda. Ia terkenal sebagai pusat rujukan utama teknik Hybrid Brachytherapy and Intensity-Modulated Radiotherapy (HyBIRT) untuk merawat kanser lidah tanpa pembedahan.

IMG 20260122 WA0096

PKTAAB berperanan penting dalam melahirkan tenaga pakar perubatan dan saintis berkemahiran tinggi serta menyokong pembangunan penyelidikan translasi dan inovasi teknologi perubatan bertaraf antarabangsa.

Teks: Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha (Pengarah, Kampus Kejuruteraan USM) & Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin (Pengarah, Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser USM)/ Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail (Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM)/ Foto: Mohd Fairus Md. Isa 

  • Created on .
  • Hits: 554

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025