USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM FC BURU KEJUARAAN LIGA AMATUR, AZM ROVERS FC JADI PENGHALANG TERAKHIR

 

1asa.jpeg

USM PULAU PINANG, 21 Januari 2026 – USM FC berada di ambang mencipta sejarah tersendiri apabila bakal berentap dengan AZM Rovers FC dalam Perlawanan Akhir Liga Amatur 2025/2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada hari Sabtu ini, 24 Januari 2026, jam 8.45 malam.

Kejayaan mara ke pentas final menyaksikan USM FC mengesahkan status sebagai kelab pertama dari Pulau Pinang yang layak ke Liga A1 musim 2026/2027, sekali gus melonjakkan nama USM dalam peta bola sepak amatur negara.

scsfds.jpeg

USM FC tampil dengan momentum luar biasa selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim, disokong kekuatan jentera serangan yang tajam serta disiplin pertahanan yang ampuh.

Pendaftar USM, merangkap Presiden USM FC, Mohd Azizudin Mohd Shariff, menyifatkan perlawanan akhir ini sebagai kemuncak kepada kerja keras seluruh pasukan.

fbnfgnfgjnyt.jpeg

“Ini bukan sekadar perlawanan akhir, tetapi pentas untuk membuktikan kemampuan sebenar USM FC. Kami turun dengan satu misi iaitu menjulang kejuaraan,” katanya.

Tambah Mohd Azizudin, pemain telah memberikan sepenuh komitmen sejak awal musim dan mereka layak berada di pentas akhir, kini tiba masanya untuk USM FC menamatkan perjuangan ini dengan sebuah kejuaraan.

“Saya juga bagi pihak pasukan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak Universiti, khususnya kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, atas sokongan moral, fizikal, dan suntikan kewangan yang diberikan kepada pasukan USM FC.

jgmgmkllk.jpeg

“Penghargaan turut ditujukan kepada Ketua-Ketua Jabatan atas pertimbangan dan budi bicara dalam memberikan kemudahan pelepasan bertugas kepada staf masing-masing, sekali gus membolehkan pemain memberi komitmen penuh kepada pasukan,” jelas Mohd Azizudin.

Bagaimanapun, cabaran AZM Rovers FC wakil dari Pantai Timur negeri Cik Siti Wan Kembang itu tidak boleh dipandang ringan apabila pasukan itu terkenal dengan corak permainan agresif dan semangat juang tinggi, menjadikan aksi final ini dijangka berlangsung sengit dan berintensiti tinggi.

Kehadiran penyokong dijangka memberi suntikan moral besar buat kedua-dua pasukan, sekali gus memeriahkan suasana perlawanan yang dianggap antara final paling dinanti dalam kancah Liga Amatur musim ini.

“Saya menyeru seluruh warga staf dan pelajar USM, termasuk penyokong bola sepak dari Pulau Pinang, agar hadir beramai-ramai ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Sokongan anda amat penting dalam membakar semangat pemain di atas padang,” kata beliau lagi.

dfgdffdgdf.jpeg

Menurutnya, kehadiran penyokong bukan sahaja menjadi dorongan moral kepada pemain, malah mencerminkan kesatuan dan kebanggaan warga USM dan Pulau Pinang terhadap pencapaian pasukan tersebut.

Perlawanan Akhir Liga Amatur 2025/2026

📍 Stadium Majlis Perbandaran Selayang

🗓  Sabtu, 24 Januari 2026

8.45 malam

USM FC vs AZM Rovers FC

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/ Foto: Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) & USM FC

  • Created on .
  • Hits: 591

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025