AMANAT MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KEPADA SELURUH WARGA UNIVERSITI MALAYSIA: AKAL BUDI NUSA
20 Januari 2026
Warga Universiti Sains Malaysia,
Sukacita dimaklumkan bahawa Amanat Menteri Pendidikan Tinggi bertemakan “AKAL BUDI NUSA: Sintesis Ilmu dan Peradaban” telah disampaikan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sebagai amanat rasmi kepada seluruh warga universiti dan institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

Amanat tersebut merumuskan pandangan jauh strategik (strategic foresight) Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menghadapi perubahan zaman, serta menjadi hala tuju bersama yang perlu dikongsi, difahami dan dilaksanakan oleh seluruh warga universiti.
Amanat ini menegaskan bahawa pendidikan tinggi perlu berperanan sebagai “Akal Budi Nusa” dengan menyatukan kecemerlangan akademik bersama nilai, adab dan kemanusiaan, di samping memastikan kejayaan ditentukan melalui keupayaan menterjemahkan perancangan serta wacana kepada tindakan yang berdisiplin dan berimpak nyata.

Sehubungan itu, tahun 2026 ditetapkan sebagai tahun implementasi dengan penekanan kepada disiplin pelaksanaan, keberanian membuat keputusan dan akauntabiliti dalam penyampaian hasil, demi memastikan aspirasi pendidikan tinggi dizahirkan secara konsisten dan berkesan.
Selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, universiti dan akademia diangkat sebagai pembina bangsa yang berperanan membentuk insan secara menyeluruh, di samping melahirkan graduan yang berdaya saing serta beretika.
Amanat ini turut menggesa tadbir urus universiti yang lebih tangkas, berintegriti dan kolaboratif, serta memberi fokus yang jelas terhadap kesejahteraan pelajar dan penyampaian impak kepada masyarakat serta negara.

Sehubungan itu, seluruh warga universiti diseru untuk menghayati, menyebarluaskan dan menterjemahkan amanat ini sebagai tindakan agar tekad bersama merealisasikan peranan pendidikan tinggi sebagai AKAL BUDI NUSA dapat dicapai secara menyeluruh.
Teks: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 255