PROGRAM MOBILITI AKADEMIK USM PERKAYA PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN PELAJAR EfP SoLLaT DI JEPUN
OSAKA, JEPUN, 14 Januari 2026 – Seramai 10 pelajar dari program ‘English for Professionals’ (EfP) di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai lawatan mobiliti akademik, dengan diiringi 2 orang staf ke Osaka, Jepun.

Lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan secara langsung kepada para pelajar tentang masyarakat, budaya, dan suasana hidup di persekitaran bandar di Jepun.
Secara rasminya program tersebut bermula pada 10 Januari, apabila kumpulan pelajar terbabit berlepas ke Osaka. Setiba mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Osaka, kesemua mereka menuju ke tempat penginapan ‘Airbnb’ yang terletak di sebuah kawasan perumahan kejiranan.

Pada malam pertama, para pelajar meluangkan sedikit masa untuk meneroka kawasan sekitar dengan berjalan kaki.
Pengalaman tersebut memberi mereka peluang memerhati suasana setempat serta memahami dengan lebih mendalam kehidupan seharian masyarakat di Jepun.

Melalui pemerhatian tersebut, para pelajar berpeluang membandingkan suasana kejiranan di Jepun dengan di tanah air, khususnya dari aspek kebersihan, perancangan bandar, dan kehidupan bermasyarakat.
Di samping itu, mereka juga dapat mempelajari bagaimana menggunakan sistem pengangkutan awam Jepun, termasuk memahami laluan keretapi, kaedah penjualan tiket, dan etika di stesen keretapi.
Pengalaman tersebut perlu dalam membentuk sifat berdikari secara praktikal dan penyesuaian terhadap sesuatu budaya.
Hari berikutnya, 11 Januari, program diteruskan dengan lawatan ke Dōtonbori, antara daerah di Osaka yang amat terkenal sebagai pusat kebudayaan dan perniagaan.
Perjalanan ke Dōtonbori menuntut para pelajar menggunakan pengetahuan baharu yang diperoleh berkaitan perjalanan dengan kereta api, sekali gus mengukuhkan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Lawatan tersebut dilaksanakan dengan berfokuskan aspek akademik, yang mendorong para pelajar meneliti sejarah latar belakang lokasi berkenaan serta peranannya dalam membentuk identiti Osaka.
Pada asalnya dibangunkan sebagai kawasan tumpuan hiburan pada zaman Edo, Dōtonbori kemudiannya berkembang menjadi pusat utama budaya kulinari dan pelancongan.
Selain aktiviti di Osaka, program tersebut turut merangkumi lawatan akademik ke Nanzan University di Nagoya dan Kyoto Gaidai Nishi High School di Kyoto.
Secara keseluruhannya, lawatan akademik berkenaan telah memberi peluang pembelajaran berdasarkan pengalaman yang praktikal, yang dapat memperkayakan perkembangan akademik dan peribadi para pelajar yang turut serta.
Teks asal: Pelajar program EfP, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT), USM & Kelana Ahmad, Timbalan Dekan (Pembangunan Bakat, Profesional & Pelajar) SoLLaT, USM/ Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 69