DUA INOVASI EMAS USM RAIH ANUGERAH KHAS BIOMALAYSIA
JOHOR BAHRU, 22 Okt. 2013 - Dua produk emas hasil ciptaan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Wheelsaver dan A Novel Drug-Drug and Drug-Herb Interactions Prediction Platform berjaya memperoleh anugerah khas Bioinnovation Award dalam pameran rekacipta BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 yang berlangsung di sini hari ini.
Wheelsaver adalah inovasi kerusi roda dengan dilengkapi alat kawalan khas yang memudahkan pergerakan pesakit berkerusi roda manakala A Novel Drug-Drug and Drug-Herb Interactions Prediction Platform adalah platform khusus bagi menentukan tahap keselamatan ubat khususnya herba.
Kedua-dua inovasi adalah hasil rekacipta penyelidik wanita USM, masing-masing oleh Dr. Zuraida Zainun dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan Dr. Tan Mei Lan dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju.
Selian dua inovasi emas tersebut, tiga lagi produk penyelidikan USM yang dipertandingkan berjaya memperoleh pingat perak, termasuk NutritiveMush Flour, konkrit hijau yang dihasilkan dari abu kelapa sawit dan minuman berkhasiat berasaskan labu, PumpCoola.
USM secara keseluruhan mempertaruhkan lima produk berasaskan bioteknologi termasuk NutritiveMush Flour, tepung berfiber tinggi yang diperbuat daripada cendawan tiram.
Keistimewaan tepung yang dihasilkan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Madya Dr. Wan Rosli Wan Ishak itu adalah terletak pada teknik pembuatannya.
Menurut Wan Rosli, NutritiveMush Flour dihasilkan melalui teknik pengeringan unik rahsia yang dikenali sebagai ANJAAD, yang membolehkan proses penghasilan dipercepat kepada kurang empat jam berbanding kaedah pengeringan oven iaitu sekurang-kurangnya sehari.
“NutritiveMush Flour turut berupaya membantu mengurangkan kolestrol dalam darah, selain sesuai diambil oleh pesakit kardiovaskular seperti obesiti, darah tinggi dan sebagainya,’’ ujarnya.
Tambah beliau, hasil kajiannya itu turut telah diterbitkan dalam pelbagai jurnal selain telah melalui fasa pengkomersialan bersama rakan kolaborasi industri. Produk yang dikomersialkan adalah tepung cendawan dan biskut.
NutritiveMush Flour adalah antara lima produk USM yang dipertandingkan dalam BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen PERSADA, bermula 21 hingga 23 Oktober ini.
Dalam pada itu, BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 yang julung kali dianjurkan di luar Lembah Kelang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 disertai oleh 160 pempamer yang terdiri dari delegasi dalam dan luar negara, meliputi institusi pengajian tinggi, syarikat-syarikat berasaskan bio, agensi kerajaan dan sebagainya.
Antara negara-negara yang turut mengambil bahagian dalam acara tahunan yang menghimpunkan penyelidik, pelabur, dan sebagainya itu adalah China, Singapura, Jepun, Korea, Amerika Syarikat, Netherlands dan sebagainya.
KEPUTUSAN PENUH:
1.U-POFA; Green Palm Oil Fuel Ash Based Supplementary Binder for High Performance Concrete: Prof. Madya Dr. Megat Azmi Megat Johari (Perak)
2.Wheelsaver: Dr Zuraida Zainun (Emas: Anugerah Khas)
3.NutritiveMush Flour: Prof. Madya Dr. Wan Rosli Wan Ishak (Perak)
4.A Novel Drug-Drug and Drug-Herb Interactions Prediction Platform: Dr. Tan Mei Lan (Emas: Anugerah Khas)
5.PumpCoola: Dr. Uthumporn Utra@Sapina Abdullah (Perak)
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1308