600 POKOK BAKAU DITANAM, SOKONG AGENDA SDG DI PAYA BAKAU MERBOK
PULAU PINANG, 19 Januari 2026 - Usaha pemuliharaan alam sekitar terus diperkasa apabila seramai 36 orang peserta Program UniGo-UTAS dari University of Tasmania menyertai aktiviti penanaman 600 anak pokok bakau di kawasan Paya Bakau Merbok, Kedah, baru-baru ini.

UniGo UTAS merupakan program pertukaran dan mobiliti antarabangsa yang memberi pendedahan global kepada pelajar melalui pembelajaran luar negara dalam tempoh jangka pendek.

Program ini dianjurkan selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), dan secara langsung menyokong SDG 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim melalui pemuliharaan ekosistem bakau yang berperanan sebagai penyerap karbon semula jadi serta pelindung pantai daripada hakisan dan kesan perubahan iklim.

Dalam masa yang sama, inisiatif ini turut menyumbang kepada SDG 14: Hidupan di Bawah Air dan SDG 15: Hidupan di Darat dengan memelihara habitat penting bagi pelbagai spesies flora dan fauna.
Lawatan lapangan ke Paya Bakau Merbok memberi peluang kepada para peserta untuk memahami secara langsung kepentingan biodiversiti serta fungsi ekosistem paya bakau dalam keseimbangan alam sekitar.

Penglibatan aktif peserta dalam aktiviti penanaman bakau mencerminkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti, khususnya dalam pendidikan kelestarian dan kesedaran alam sekitar.
Selain itu, penganjuran program ini memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar, sejajar dengan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, melalui kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan komuniti tempatan.
Program UniGo bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu dan budaya, malah berperanan penting dalam memupuk tanggungjawab sosial serta kesedaran global terhadap kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
Teks & Foto: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM
- Created on .
- Hits: 255