USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERFIKIR DI LUAR KOTAK - PRO CANSELOR

221013-3

PULAU PINANG, 21 Oktober 2013 - “Para pelajar pada masa sekarang haruslah berfikir di luar kotak selain bagi mendapatkan pengalaman dan latihan yang baik,” kata Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Mustafa Mansur ketika merasmikan ASEAN Future Leaders Summit (AFLES 2013) yang diadakan di sini hari ini. Mustafa kemudiannya menyampaikan ceramah dan berinteraksi dengan peserta mengenai Kepimpinan dalam Perniagaan.

Menurut Mustafa AFLES 2013 adalah salah satu cara untuk para pelajar mengambil peluang membina jaringan dalam kalangan para peserta yang juga pemimpin universiti masing-masing. Para peserta yang hadir adalah di antara 750 orang calon yang menghantar penyertaan dan pihak penganjur hanya memilih 100 orang pelajar berdasarkan pelbagai kriteria.

AFLES 2013 adakah anjuran bersama Pejabat Antarabangsa, USM dan Prince of Songkla University (PSU) dengan kerjasama ASEAN University Network (AUN). Program ini akan dijalankan selama seminggu iaitu tiga hari di USM manakala tiga hari berikutnya di PSU, Kampus Hatyai, Thailand.

Di samping ceramah oleh ikon industri, akademik dan pelbagai bidang lain, turut diadakan adalah lawatan ke industri di Pulau Pinang dan juga perkampungan di Selatan Thailand untuk menjalankan kajian kes mengenai pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.

PA210531

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah Eksekutif AUN, Profesor Madya Dr. Nantana Gajaseni, Timbalan Presiden Hal Ehwal Antarabangsa PSU, Profesor Dr. Amornrat Phongdara dan Pengarah Pejabat Antarabangsa USM, Profesor Madya Dr. Anees Janee Ali.

Ahmad Shukri berkata, remaja dan juga para pelajar pada masa ini adalah generasi yang cepat memberikan respon dalam apa keadaan sekalipun terutamanya melalui teknologi-teknologi terkini. Contohnya, melalui media sosial semua perkara yang dibincangkan atau diberi perhatian adalah situasi terkini.

Bagi Amornrat, program sebegini dapat meningkatkan kepimpinan seseorang pelajar di samping persediaan peningkatan kepimpinan untuk komuniti dan universiti pada masa hadapan. - Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Yong Check Yoon

  • Created on .
  • Hits: 1328

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024