‘ECHO’ MANIFESTASI KEMPEN KESEDARAN SOSIAL PELAJAR KOMUNIKASI USM

USM PULAU PINANG, 14 Januari 2026 – Para pelajar Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) mengangkat nama ECHO sebagai simbolik kepada majlis penutup kempen-kempen kesedaran sosial bertemakan isu masyarakat yang dijalankan sepanjang semester lalu.

Acara yang dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi itu menggabungkan usaha empat kumpulan pelajar yang memberi tumpuan kepada pelbagai isu sosial menerusi kempen masing-masing di bawah kursus YKT311 Projek Tahun Akhir.

Mengambil nama ECHO sebagai lambang gema kesedaran berterusan, program penutup berkenaan menjadi wadah bagi menzahirkan refleksi, menyampaikan mesej kemasyarakatan dan menyerlahkan impak inisiatif yang dijalankan secara kolektif.

Kempen-kempen tersebut memperincikan empat dimensi sosial berbeza namun saling berkait dalam memupuk pemahaman masyarakat, iaitu:
- SYNQ – mengangkat dimensi Empati melalui kempen Sprout Up, yang memfokuskan kesedaran mengenai kanak-kanak Palsi Serebrum;
- U.N.M.U.T.E. – membawa dimensi Keberanian melalui #BeraniSayNo, memerangi isu buli dan memperkasa individu untuk bersuara;
- Hikarya – mengetengahkan Warisan melalui Mai Cerita, yang meraikan seni persembahan tradisional;
- Bloom – menonjolkan Keaslian menerusi YOUnique, kempen yang meraikan penerimaan diri serta kepelbagaian tubuh.
Program yang berlangsung meriah itu diisi dengan pembentangan ringkas setiap kumpulan, tayangan montaj perjalanan kempen, sesi penghargaan kepada rakan kerjasama dan penaja serta gimik khas sebagai simbol penutupan kepada rangkaian inisiatif tersebut.
ECHO turut disokong oleh pelbagai rakan strategik termasuk Jabatan Belia Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Befrienders, Persatuan Cerebral Palsy Pulau Pinang, Wak Long Music & Art Centre, Mind Navi Consultation, Ling In Art Therapy serta beberapa institusi pendidikan di negeri ini.
Program berkenaan mencerminkan usaha pelajar Komunikasi USM dalam menghubungkan pembelajaran akademik dengan impak dunia sebenar, selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) – khususnya SDG 3, SDG 4, SDG 10 dan SDG 16.
Dalam satu kenyataan, PPK menegaskan komitmennya untuk terus menganjurkan program berimpak sosial bagi meningkatkan kesedaran komuniti dan memberi manfaat kepada masyarakat secara berterusan.
Teks & Foto: Unit Perhubungan Awam, Majlis Penutup ECHO/ Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 171